Kumpulan dari Cerpen Cinta Melayu.

Kalimah Cinta Bab 6-10

Farah menghulurkan sekeping gambar padaku, gambar Iman sedang tersenyum manis.

“Mana Farah dapat gambar ni? Iman bagi ke?” aku bertanya penuh rasa curiga.

“Eh tak adalah, ni Farah dapat masa sama-sama ikut Pertandingan Antara Kolej dulu, seorang kawan Farah ambil gambar Iman, Farah pun mintaklah sekeping,” Farah tersengih.

Aku terdiam. Memang ramai yang meminati Iman jadi tidak hairanlah jika ada yang memiliki gambar Iman kerana dia memang jejaka idaman kolej pada waktu itu. Walaupun ada cemburu di hati namun aku tak mampu berbuat apa-apa kerana aku tiada sebarang hubungan dengannya.

“Ila nak gambar ni boleh tak?” pintaku penuh harapan.

“Ambillah. Memang Farah ambil untuk bagi pada Ila pun. Farah nak simpan buat apa. Farah bukannya sukakan dia pun.” Aku tersenyum mendengar kata-kata Farah, terharu dengan kesungguhannya mendapatkan gambar Iman untuk aku.

Aku merenung potret itu, mengimbau kembali sebuah kenangan yang takkan mampu diulang semula. Ada kesedihan dalam hati ini yang tak mampu kurungkai. Mengapa takdir sengaja mahu mempertemukan kami kembali di saat aku hampir mampu melupakan dia? Hatiku meronta sendiri. Lapan tahun lamanya aku mencuba, dan terus mencuba untuk melupakannya, biarpun tidak pernah bertemu Iman selepas tamat pengajian di kolej, namun cinta yang menghuni hati, masih tak mampu kuusir pergi. Kini, di saat aku merasakan cinta itu kian mampu kulupakan, tiba-tiba saja Iman muncul kembali.

Kepalaku terasa berat, terasa ada beban yang sangat berat tertanggung dikepalaku. Memikirkan soal Iman membuatkan hatiku terasa begitu sakit, air mata kubiarkan perlahan mengalir di pipi, kesedihan yang tak terubat itu kucuba basuh dengan air mata. Aku terasa begitu lemah saat itu.

Sebuah keluhan berat kulepaskan, tak tertanggung rasanya beban yang mencengkam hati saat ini. Potret itu kusimpan kembali ke dalam album kenangan. Malas mahu berlama-lama memikirkan Iman, wajahku kuraut perlahan, air mata kuseka dari pipi, cuba mencari kekuatan dalam diri. Sekurang-kurangnya aku gembira, kerana aku tidak akan bertemu Iman lagi kerana aku takkan mungkin menghubunginya, ini tekadku, biarlah aku buang jauh dirinya dari pandanganku.

------------------------------------------------------------------------------------------------------

“Ila, jangan marah Wan lagi ek, tolonglah...” pujuk rayu Safwan dari corong telefon kubalas dengan senyuman walaupun dia tidak nampak senyuman itu. Hatiku sudah sejuk, buat apa kulampiaskan amarahku pada Safwan yang tidak mengerti apa-apa.

“Dah, Ila tak marah dah. Puas hati?” soalku kembali. Terdengar tawa Safwan.

“Macam tu la. Wan minta maaf sangat sebab cakap macam tu hari tu, Wan terlalu dipagut rasa cemburu. Siapa yang tak cemburu kalau perempuan yang kita suka berbual berdua dengan lelaki lain.”

Kata-kata Safwan buat aku tergamam. Aku tahu isi hatinya tapi aku tidak mampu berbuat apa-apa, aku hanya mampu menganggapnya teman baikku buat masa ini.

“Cukuplah Wan, tak payah ungkit lagi semua tu, ok?” pintaku padanya.

“Ila, sampai bila Ila nak buat Wan tertunggu macam ni? Tak mampukah Ila balas cinta Wan ni?” nada Safwan berubah serius.

Sekali lagi aku kehilangan kata. Terdiam membiarkan suasana hening.

“Ila, Ila ada lagi ke kat situ?” suara Safwan kedengaran semula.

Perlahan aku menarik nafas.

“Ada. Wan,” aku membalas perlahan. “Ila mohon sangat, jangan tanya soal hati Ila buat masa ni boleh?”

“Tapi...” Safwan cuba mempersoalkan.

“Ila sedang cuba membuka hati Ila buat Wan tapi Ila sendiri tak pasti bila hati ni mampu menerima Wan, selagi Wan terdaya Wan tunggulah, tapi kalau Wan dah jumpa insan yang lebih cocok buat Wan, Wan terimalah dia. Ila tak kisah asalkan Wan bahagia,” aku segera memotong katanya dan menjelaskan isi hatiku yang terbuku dengan harapan Safwan mampu menerima alasanku ini.

Safwan terdiam seketika, hanya desahan nafasnya yang kedengaran.

“Baiklah Ila, Wan sanggup tunggu sampai Ila terbuka hati, Wan sanggup tunggu sampai akhir hayat Wan, Wan sanggup Ila.”

Aku terkedu, yakin sungguh Safwan dengan keputusannya, membuatkan aku berasa sungguh terharu. InsyaAllah Ila akan bukakan hati Ila buat Wan, aku membulatkan tekad.

----------------------------------------------------------------------------------------------------

Hari itu aku ke sekolah dengan semangat baru walaupun badanku terasa lemah. Rasa bersemangat untuk melupakan segalanya berkaitan Iman dan meneruskan kehidupanku seperti biasa, seperti saat sebelum bertemu Iman semula. Aku juga tekad untuk menanamkan cintaku pada Safwan setelah melihatkan kesungguhannya untuk mendapatkan cintaku.

“Ehem, termenung nampak.” Aku yang sedang duduk ditempatku saat itu tersentak dengan teguran itu. Safwan sedang berdiri di sebelahku sambil tersenyum. Kerusi di tempat Cikgu Salima di sebelahku segera ditarik lantas dia duduk disebelahku.

Safwan merenungku dalam-dalam. Aku jadi malu diperlakukan begitu.

“Apa? Kenapa tengok Ila macam nak telan?” aku menyoalnya yang masih merenungku.

Pantas Safwan tersengih. “Saja suka tengok Ila, Ila cantik hari ni,” pujiannya kusambut dengan senyuman.

“Merepek jelah Wan ni. Wan tak ada kerja ke datang kacau orang ni?”

“Tak ada, kelas mula pukul 9 hari ni. Sempat la kacau buah hati dulu...” derai tawanya pecah. Aku hanya tersenyum, tak mampu membalas apa-apa.

“Nanti seminggu Wan kursus kat luar, tu yang Wan nak tengok Ila puas-puas, buat hilangkan rindu. Petang nanti dah nak berangkat.”

“Ceh, mengada la Wan ni, baru pergi seminggu dah nak rindu-rindu,” aku segera beralih memandang komputer yang sedang terbuka.

“Ila, betul ni, mesti Wan rindukan Ila nanti, Ila jaga diri baik-baik tau. Nanti tak ada orang nak tolong tengokkan Ila kat sini.”

Aku tersenyum, memang itulah sifat Safwan, selalu mengambil berat tentang diriku, sering risaukan perkara yang aku sendiri tidak fikirkan.

“Walaupun Wan tak ada, Ila boleh jaga diri Ila sendiri. Ila bukannya budak kecil, Wan,” aku menoleh pada Safwan dengan wajah yang serius.

Safwan menghela nafas. “Yelah tu, Wan cuma risaukan Ila saja.” Aku menggelengkan kepala seraya tersenyum.

Petang itu aku masih sibuk dengan kerjaku,aku ingin segera habiskan kerana besok sudah bermula cuti semester selama dua minggu, risau kerjaku tertangguh dalam tempoh masa itu, jadi aku bercadang untuk menghabiskan kerjaku sebelum cuti bermula. Aku malas hendak ke sekolah pada waktu cuti, kerana ingin menggunakan masa cutiku dengan berehat di rumah saja tanpa memikirkan soal kerja. Terasa penat sungguh sepanjang minggu ini, apatah lagi ditambah dengan pertemuanku dengan Iman semula, semua perkara ini begitu membebankan jiwaku, aku memerlukan rehat yang panjang.

Aku rasakan badanku terasa kian panas, entah mengapa aku sendiri tidak pasti. Kepalaku pula kian berdenyut-denyut kesakitan. Kerja yang sedang kusiapkan kutolak ketepi, tak mampu menghadap kerja itu lagi dalam keadaan badanku yang lemah dan kepalaku sakit sebegini. Paracetamol yang tersedia dalam tas tanganku segera kugapai dan kutelan, tak mampu rasanya menanggung sakit kepala yang kian mencengkam. Dari semalam aku dapat rasakan badanku lemah dan panas tapi aku malas menghiraukan kondisi itu kerana menganggap ia hanya sementara.

Terasa mengantuk pula seusai menelan tablet itu, ditambah dengan badanku yang lemah, pandanganku terus terasa kabur, mataku terasa begitu berat sekali untuk dibuka lagi. Perlahan aku menutup mata, ingin melelapkan diri buat seketika dengan harapan dapat menghilangkan sakit di kepala yang kian mencengkam.

       Perlahan aku membuka mata, pandanganku yang masih kabur dapat merasakan bilik itu begitu asing bagiku. Bau ubat begitu kuat menusuk hidung, aku menonyoh mataku supaya jelas pandanganku saat itu. Aku bingkas bangun dari tidurku di atas katil putih itu.


       “Eh cik, bawa bertenang, badan cik masih lemah, sila baring semula,” seorang jururawat segera membaringkan aku semula ke katil.

       “Err, saya kat mana ni?” aku meminta kepastian, terasa bingung dengan keadaanku.

        Jururawat itu memandang wajahku lantas tersenyum. Pergelangan tanganku dipegang untuk memeriksa nadiku.

        “Cik sekarang berada di hospital, tadi doktor sendiri yang bawak cik ke mari,” jururawat itu menjelaskan sambil tangannya mencatitkan sesuatu pada fail yang dipegangnya.

        Aku memandang jururawat itu dengan hairan, pelik dengan jawapan yang diberikan.

        “Doktor? Doktor mana pulak? ” pertanyaanku dibalas dengan senyuman, lantas jururawat itu menghalakan ibu jarinya pada satu arah.

        Pada sebuah sofa, di hujung bilik itu, kelihatan satu susuk tubuh sedang berbaring di atasnya. Wajahnya membelakangiku. Aku cuba mencari ruang untuk melihat gerangan insan itu namun tidak nampak.

        “Baiklah, cik sila berehat semula, kondisi cik masih lemah, lagipun sekarang baru pukul tiga pagi.”

       Jururawat itu berlalu tanpa mahu merungkaikan kekusutan yang kian bersarang dalam hatiku. Aku mengeluh perlahan lantas kembali cuba menutup mata, susah benar untuk lelap apabila menyedari ada insan lain di bilik itu tanpa kuketahui gerangannya.

       Aku membuka mata semula lantas menyorot mataku pada keseluruhan bilik itu, hanya ada katilku seorang dan bilik itu juga tertutup. Selalunya wad akan penuh dengan katil yang lain, paling kurang pun ada jiran bersebelahan buatku, namun yang ada kini cuma aku dan doktor itu yang sedang berbaring di sofa.

       Kesejukan pendingin hawa yang mencengkam tambah membuat aku menggigil kesejukan, dahiku kuelus perlahan, masih terasa panas, aku cuba memejamkan mataku semula, cuba melelapkan mata walaupun dalam keadaanku yang kurang selesa ditemani insan yang tidak kukenali dalam bilik itu.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

       “Ya Allah, dah pagi...” suara itu mengejutkan aku dari lena. Perlahan aku membuka mata. Insan itu bangun dan meraup wajahnya sebelum bangkit dari sofa.

       ‘Iman!’ aku menjerit dalam hati. Mataku terus membulat, aku bingkas bangun dari tidurku dan duduk di atas katil itu.

      “Eh Ila dah bangun? Maafkan saya, saya mengejutkan Ila. Macam mana rasa hari ni? Dah sihat sikit?” Iman bertanya dengan senyuman tak lekang dari bibir.

       Aku terdiam seketika. Terasa bingung sekali dengan situasi yang tidak dijangka ini.

       “Doktor, macam mana saya boleh ada di sini?”

      “Awak demam, saya yang bawak awak ke sini semalam, saya tunggu kat sini sampai awak sedar, tapi tak sangka pulak saya terlelap di sini.” Iman menggaru kepalanya yang tidak gatal.

     Aku terpana, terlalu keliru untuk bersuara lagi.

      “Hmm, tak apalah Ila, saya bertugas pagi ini, nanti petang saya datang jenguk awak balik. Saya nak balik mandi dulu, dah masam ni,” ujarnya sambil ketawa.

      Aku mengangguk perlahan, takut untuk bertanya apa-apa lagi. Masih terasa malu apabila memikirkan diriku ditemani Iman semalaman dalam bilik itu.

      “Assalammualaikum,” dia memberi salam sebelum menutup pintu bilik itu.

     ‘Waalaikumussalam,’ aku menjawab dalam hati sambil otakku ligat berfikir apa yang telah berlaku semalam.

      ‘Seingatku, aku berada di sekolah hingga petang semalam. Kemudian... kemudian aku tidur seketika lepas menelan paracetamol, lepas tu...’ aku berusaha mengingati kejadian semalam.

      Aku menggeleng perlahan, tak mampu untuk mengingati apa-apa lagi selepas itu. Jam di dinding kuperhatikan. Sudah pukul enam setengah pagi, segera aku bangun untuk mencari tandas, badanku terasa begitu lemah namun kugagahi juga untuk berdiri.

      Aku menyucikan diri ala kadar kerana tiada kelengkapan yang kubawa, wuduk segera kuambil, mahu menunaikan solat dengan kadar segera, sudahlah aku terlepas beberapa waktu dek kerana keadaanku ini. Aku tidak mahu menanggung dosa lagi.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

       “Ila, Ila...” suara itu seperti sangat kukenali. Perlahan aku membuka mata, entah bila aku terlena aku sendiri tidak sedar.

       Salima sedang duduk di sisiku sambil menggenggam erat tanganku. Aku tersenyum melihatnya, akhirnya dapat jua aku bertemu dengan insan yang kukenali yang bisa merungkai kekeliruan dalam hatiku saat ini.

       “Bagaimana keadaan Ila sekarang, dah rasa sihat sikit ke?” soal Salima dengan wajah yang gusar.

      Aku mengangguk perlahan lantas memegang tangannya yang sedang memegang tanganku.

      “Kak, macam mana Ila boleh ada kat hospital ni?”

      “Oh, Doktor Iman yang tolong bawakkan Ila ke sini,” aku terdiam mendengarkan jawapan serupa yang keluar dari mulut Salima dan jururawat malam tadi.

     “Macam mana dia boleh bawak Ila ke sini pulak?” soalku lagi, meminta kepastian.

       “Ila, sebenarnya semalam kak yang jumpa Ila pengsan kat bilik guru. Masa tu kak panik sangat, tak tahu nak telefon siapa. Mula-mula kak nak telefon Safwan, tapi kak teringat pulak yang dia dah pergi kursus luar daerah, kemudian kak tengok atas meja kamu ada kad Doktor Iman, apa lagi kak call lah dia.”

      “Kenapa kak tak kejutkan Ila. Ila tertidur saja kot.”

      Perlahan Salima menggeleng.

       “Kak dah cuba kejutkan Ila, tapi Ila tak bergerak lansung, badan pulak panas, kak dah tak tahu nak buat apa. Mujurlah lepas kak telefon doktor, dia suruh kak tunggu kat situ, dia nak datang ambil kamu kat sekolah.”

       Aku terdiam, tidak menyangka yang aku pengsan di sekolah semalam. Memang aku lansung tidak ingat akan hal yang berlaku semalam selepas aku menelan paracetamol.

     “Ila tahu, doktor tu datang kelam kabut, terus dia angkat kamu masuk dalam kereta dia, lepas tu bawak kamu ke hospital. Fuhh, gagah sungguh la doktor tu.” Salima tertawa riang.

      Aku mencubit pipi bulat Salima perlahan. Geram dengan usikannya.

    “Aduh, sakit la. Kenapa cubit pipi kak pulak?”

     Aku tersenyum. Geram melihat dia begitu seronok bercerita tentang Iman. Salima menggosok pipinya yang sakit.

     “Kak tu la, cakap yang bukan-bukan. Malu tau Ila, kenapa akak biarkan je dia angkat Ila ni?”

    “Ish akak nak buat macam mana lagi, kak sendiri nak angkat memang tak larat.”

     Aku mengangguk perlahan. Terasa begitu malu dengan Iman kerana telah menyebabkan dia bersusah-payah keranaku.

       “Kak tengok doktor tu macam ambil berat sangat pasal Ila.” Suara Salima membantutkan aku dari lamunan. Segera aku memandang wajahnya yang tersengih seperti kerang busuk.

     “Untung Ila, Safwan dah tergila-gila, sekarang doktor tu pulak dah suka.”

     “Merepeklah kak ni, Ila cubit lagi baru tahu,” aku mencebik geram. Salima tersengih lagi memandang raut wajahku yang mencuka.

      “Ala kak gurau jelah. Tapi nampak la jugak doktor tu ambil berat pasal kamu. Sudahlah, ni kak ada bawak kelengkapan kamu dari rumah kamu.” Salima menunjukkan sebuah beg dan sebuah bakul yang penuh bekalan buatku.

      Aku tersenyum padanya. “Terima kasih kak. Susahkan akak je.”

      “Sama-sama. Tak apa, jangan fikirkan soal tu ya.”

      Aku merenung wajah Salima semula. Ada persoalan yang masih ingin kuajukan padanya.

    “Siapa yang tahu saya ada kat hospital ni kak?” soalku risau.

     “Kawan-kawan serumah kamu dan beberapa orang guru kat sekolah tu. Kawan-kawan kamu, Syida dan Farah tu pesan, nanti petang mereka datang.”

     Aku mengangguk perlahan sebelum memandang wajah Salima semula.

    “Kak, Ila nak mintak tolong ni.”

     Salima mendongak.

      “Tolong apa? InsyaAllah kak mampu, kak tolong.”

      “Tolong jangan beritahu Safwan dan keluarga Ila pasal ni ya.”

       Salima kelihatan terkejut dengan pesanku itu.

      “Kenapa pulak?”

        “Safwan kan tengah berkursus, Ila tak mahu dia balik semula ke sini semata-mata kerana Ila, biar dia berkursus di sana dengan tenang. Pasal keluarga Ila pulak, mereka jauh, Ila tak mahu mereka risau dan menyusahkan mereka datang ke sini. Ila pun sakit sikit saja, kalau Ila dah sakit teruk, tak apalah nak maklumkan pada mereka. Boleh ya kak, jangan beritahu ya.” Pesanku bersungguh-sungguh.

       Salima mengangguk faham. Tanganku dielus kembali.

      “Ila berehat la puas-puas ya. Kak doakan semoga Ila cepat sembuh.”

       Aku tersenyum padanya. “Terima kasih kak...”

     Aku sendirian di wadku saat itu, tiada siapa yang menjengah kerana waktu melawat sudah tamat dan hanya akan bermula kembali pada pukul empat setengah petang. Jam di tangan kuperhatikan, baru pukul tiga sedangkan aku sudah dipagut kebosanan akibat bersendirian di wad itu. Awal-awal lagi Salima sudah meminta diri untuk pulang, aku tidak mampu menghalangnya pergi kerana dia juga punya urusan keluarga yang mesti diutamakan.

      Badanku masih terasa lemah namun aku sudah merasa sihat sedikit berbanding semalam, terasa ngilu pada tanganku dek kerana jarum yang menyucuk uratku. Aku bangun dari baring, sudah lenguh berbaring. Kepala katil kunaikkan sedikit lantas aku bersandar padanya.

     Makanan yang tersedia di dalam tray yang dikirim petugas hospital sebentar tadi segera kujamah, mahu mengembalikan tenaga yang kian hilang dalam badan. Nasi putih berlaukkan ikan goreng, sayur air dan gulai ayam itu masih tidak mampu membuka seleraku, namun aku paksa jua perutku untuk menerima makanan itu kerana tidak mahu badanku semakin lemah. Selesai menjamah, aku menghirup air milo yang dibancuh Salima saat kehadirannya tadi, dan kembali bersandar pada katil.

     “Assalammualaikum,” ucapan salam itu sekali lagi menggetarkan jiwaku. Iman terjongol di hadapan pintu wadku tuntas menghampiri, ada dua orang jururawat bersamanya.

     “Waalaikumussalam,” jawabku perlahan.

      Wajah Iman kuperhatikan, pemuda itu tetap ceria seperti selalu, jubah putih lambang seorang doktor kemas disarungnya, sebuah stetoskop terkalung di lehernya. Memang itulah gaya doktor pada kebiasaannya.

      “Macam mana Cik Ila? Hari ni rasa sihat sikit ke?” soalnya serius tanpa memandangku, tanganku segera digapainya lantas nadiku diperiksa. Terkejut diperlakukan begitu membuatkan hatiku tak keruan. Memang sudah lumrahnya doktor memeriksa nadi pesakit, Islam juga tidak melarang lelaki dan wanita bersentuhan sekiranya dalam keadaan darurat seperti dalam bidang perubatan.

      Namun bersentuhan dengan Iman memang membuatkan aku tak keruan, terasa amat segan pada Iman kerana pemuda itu pernah kukenali dan kucintai.

      “Ila, kenapa jantung Ila berdegup kencang ni? Ila takut kat Iman ke?” soalan yang dibisikkan padaku itu mengejutkan aku dari lamunan yang entah ke mana. Stetoskop yang dilekapkan pada belakangku segera dikalung semula pada lehernya. Sekuntum senyuman terukir di bibirnya.

      “Cik Ila, kami perlu membuat pemeriksaan lanjut pada Cik Ila, sampel darah Cik Ila akan dihantar ke makmal untuk pemeriksaan, dan ada beberapa prosuder lagi yang perlu dijalankan, jadi Cik Ila terpaksa di tahan di wad ini untuk beberapa hari lagi hingga kami yakin tahap kesihatan Cik Ila mencapai tahap yang baik, ” tiba-tiba Iman bercakap dalam nada yang serius pula.

       “Errr...” aku menjadi buntu, tidak pasti dapat membalas apa-apa, ditahan beberapa hari lagi di wad bermakna aku harus menghadap Iman untuk beberapa ketika sedangkan itulah perkara yang sangat ingin ku elakkan. Oh alangkah tersiksanya hati ini, aku merintih dalam hati.

      “Jangan risau, kami cuma mahu pastikan Cik Ila tidak dijangkiti demam denggi.”

     Ya Allah, mintaklah dijauhkan musibah itu Ya Allah... aku berdoa di dalam hati sambil mengerling Iman yang asyik menulis sesuatu di atas sebuah fail.

     “Oklah Cik Ila, banyakkan berehat ya,” tuturnya pantas sambil mengukir senyuman. Selepas menutup fail ditangannya, Iman segera keluar sambil diekori dua jururawat yang membantunya tadi.

       Hatiku yang sedari tadi berdetak laju mulai normal, lega rasanya saat bayang Iman hilang dari pandangan. Ya Allah, mengapa begini takdir yang harus kutempuh, aku berbicara sendiri. Ada air jernih yang mula bertakung di tubir mata, terasa begitu tersiksa memendam perasaan yang selama ini tersemadi dalam diri.
Oh mengapa dia harus muncul kembali? Mengapa? Mengapa di saat aku hampir melupakannya, Allah mentakdirkan pertemuan ini semula? betapa hati ini begitu pedih setiap kali memandang wajahnya, melihat insan yang kucintai namun takkan mampu kumiliki.

       Aku biarkan saja air mataku mengalir, terlalu perit memendam rasa ini, rasa cinta yang pernah bercambah lapan tahun dulu, aku sangat khuatir cinta ini mekar kembali, aku tidak mahu menderita dalam penantian cinta yang sia-sia ini.

      “Ila,” suara-suara yang serentak memanggilku saat itu membuatkan aku segera berpaling, air mata yang masih bersisa di pipi, segera kusapu perlahan.

      Syida dan Farah segera menghampiri katilku, mereka kelihatan cemas dan bimbang.

     “Ila, Ila tak apa-apa ke? Kenapa Ila menangis ni?” Syida memegang lenganku sementara Farah pula mengelus dahiku.

      “Panas lagi badan Ila ni, apa kata doktor?” Farah pula berbicara.
Aku tersenyum melihatkan keprihatinan sahabatku itu. Wajah mereka kupandang satu persatu.

      “Jangan risau, Ila ok dah. Sikit je ni, nanti sembuhlah,” aku bersuara lemah, semangatku hilang entah ke mana.

     “Habis kenapa Ila menangis tadi, Ila sakitkan?” getus Syida tiba-tiba.

      Perlahan aku menggeleng, keluhan berat kulepaskan. Wajah Iman kembali muncul dalam ingatan.

      “Syida, Farah...” aku memulakan bicara. “Ila menangis sebab Ila sedih sangat, mengapa Allah pertemukan Ila dengan Iman semula di saat Ila hampir mampu mengusir semua perasaan ini pergi. Syida dan Farah tahu tak, Iman yang bawa Ila ke hospital, dan dia juga yang merawat Ila.” Kata-kataku membuatkan Syida dan Farah terkejut. Mereka berpandangan sesama sendiri.

      “Macam mana Iman pulak yang bawa Ila kemari?” Farah bertanya, mungkin pelik dengan pernyataanku itu.

      Aku memandang wajah Farah.

      “Teman sekerja Ila, Cikgu Salima yang telefon Iman, dia jumpa kad nama Iman atas meja Ila. Masa dia nampak Ila pengsan, dia panik sangat, tak tahu nak telefon siapa, bila dia nampak je kad tu, terus dia telefon Iman.”

     Aku mengeluh lagi. Terasa begitu terseksa berhadapan dengan Iman.

     “Farah dan Syida tahu tak, tadi saat Iman datang memeriksa Ila, hati Ila berdegup kencang sangat, Ila rasa macam nak gugur jantung. Perasaan Ila yang pernah wujud untuknya dulu seolah dah kembali semula, Ila tak mahu perasaan tu datang kembali, Ila tak mahu menderita dalam cinta ini lagi. ”

       Perlahan Syida dan Farah mengangguk.

      “Sabarlah Ila, anggap saja ini ujian Allah dalam menduga hambaNya, barangkali ada hikmah yang tersembunyi di sebalik pertemuan antara Ila dan Iman semula. Ila kena kuat, jangan mengalah, Farah tahu Ila kuat, hadapi Iman dengan kental, jangan tunjukkan Ila lemah di hadapannya. Jangan biar dia sedar yang Ila ini ialah Ila yang pernah dikenalinya lapan tahun dulu.”

       Nasihat yang keluar dari mulut Farah itu kuterima dengan anggukan. ‘Aku harus kuat, aku harus tabah, Allah saja tahu mengapa aku diuji sebegini, Allah menguji hambaNya kerana sayang pada hambaNya, aku harus bersyukur kerana diberi peluang ini oleh Allah,’ aku berbisik pada diriku sendiri, cuba mencari kekuatan yang kian luntur dalam diri.

       “Terima kasih Syida, Farah, sebab menyokong Ila dan memberi semangat pada Ila sampai sekarang. Kalau Syida dan Farah tak ada, entahlah pada siapa Ila dapat mengadu, hanya pada Allah Ila mampu berserah segalanya.”

       Syida dan Farah perlahan mendekatiku lantas memelukku erat. Terasa begitu terharu kerana Allah pertemukan aku dengan sahabat-sahabat yang benar-benar memahami dan bisa mengubati hatiku yang lara.

       “Ila, banyakkan berehat ya, kalau Ila mahukan teman di sini nanti Farah dan Syida bergilir temankan Ila,” ujar Farah saat pelukan terlerai.

        Aku menggeleng perlahan, tidak mahu menyusahkan mereka.

       “Tak apalah Farah, Syida, nanti susahkan Farah dan Syida pulak nak kena mintak cuti, Ila dah makin pulih, tak lama lagi dah boleh keluar wad, jadi jangan risau ya.”

       “Kalau macam tu tak apalah, tapi kan Ila, kenapa ya Ila ada dalam wad kelas satu? Nanti bil dia mesti tinggi,” persoalan Syida itu membuatkan aku menelan liur. Patutlah aku keseorangan di wad itu, rupanya aku di wad kelas satu, mengapa aku tidak perasan akan hal ini? Aku menggaru kepala yang tidak gatal.

      “Ila ada dalam wad satu ke? Ila tak sedar pun, patutlah tak ada pesakit lain dalam wad ni.”
Syida dan Farah ketawa atas kenaifanku itu. Aku tersenyum tawar, dalam hati sangat khuatir tentang bayaran yang bakal dikenakan.

      “Ya Allah, permudahkanlah urusan hambaMu ini, amin...” perlahan aku berdoa.

Keheningan malam membuatkan aku rasa begitu sunyi. Aku menggagahkan diri untuk bangun, perlahan tombol pintu wadku itu kupulas, lantas aku menjerluskan diri keluar dari wad itu. Bosan sekali berada di situ seorang diri, aku tidak tahu mahu berbuat apa lagi lantas hatiku tekad mahu berjalan-jalan sekitar hospital itu. 

Badanku yang masih lemah memaksaku berpaut pada palang yang tersedia, aku melangkah dengan berhati-hati sambil memerhatikan sekeliling koridor. Aras di mana wadku berada itu kelihatan begitu eksklusif dan hanya memiliki beberapa buah bilik wad yang tertutup.

‘Pasti semua ini wad orang kaya,’ hatiku berbisik sendiri. Sampai di hadapan kaunter, aku tersenyum pada jururawat yang bertugas.

“Cik nak pergi mana ni?” salah seorang jururawat itu menyoalku. Wajahnya manis sekali, dan senyuman tak lekang dari bibirnya.

“Saya nak ambil angin sekejap, jalan-jalan kat luar, boleh tak? Bosan la duduk dalam bilik saja.” aku meminta kebenaran.

Jururawat itu mengangguk perlahan.

“Boleh, tapi hati-hati ya. Kalau rasa lemah, segera maklumkan kami segera ya.” Jururawat itu mengingatkan. Aku sekadar mengangguk faham.

Segera aku menoleh untuk meneruskan langkahku, namun langkah itu mati saat aku teringatkan satu persoalan yang mula bermain dalam benakku.

“Nurse, saya nak tanya sedikit, bayaran satu malam di wad ini berapa?” aku meluahkan kemusykilanku. Perasaan bimbang kian mencanak dalam hati.

“RM1500 semalam. Kenapa cik?” jawapan itu membuatkan mataku membulat, perasaan gundah kian menyelubungi hati.

‘Lebih separuh dari gajiku sebulan untuk semalam,’ aku begitu gusar. “Cik, cik...” panggilan dari jururawat itu segera menyedarkan aku.

“Cik tak apa-apa ke?” soalnya kembali.

Aku memandang wajahnya seraya tersenyum, tidak mahu dia menebak hatiku yang kerisauan.

“Tak ada apa-apa, saya pergi dululah ya.” Aku tak sanggup berlama di situ. Fikiranku berasa terlalu kusut.
Mengapa aku ditempatkan di wad kelas satu? Wad yang tidak pernah kubayang untuk kudiami seandainya aku perlu ditahan di hospital. Mengapa aku perlu dibebankan dengan masalah ini pula? Aku menjerit dalam hati.
Punat yang tertulis nombor di dalam lif itu segera kutekan, aku sendiri tidak pasti arah tujuku saat itu, yang pasti, aku ingin sekali menghilangkan rawan dalam hati ini.

Saat pintu lif terbuka, segera aku melangkah keluar, berjalan tanpa arah tujuan, memandang kiri dan kanan melihat sekeliling yang begitu asing. Aku hanya mengikut langkah kakiku sambil berpaut pada palang di dinding putih itu.

Dadaku terasa sesak, mataku kian kabur, terasa sekelilingku berpusing. Ya Allah, mengapa badanku begitu lemah? Aku berbicara sendiri sambil memicit kepala yang mula memusing.

“Ila, Ila...” panggilan itu tak mampu kusahut. Aku terduduk di koridor itu. Perlahan aku rasakan badanku diangkat seseorang, namun mataku terlalu lemah untuk dibuka.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

“Ya Allah...” aku berbisik perlahan saat membuka mata, keadaan sekeliling kuperhatikan. Aku sudah berada di dalam bilik wadku semula, di atas katilku. Aku cuba bangun namun kepala yang masih pening membuatkan aku kembali terbaring.

“Eh Ila, awak jangan banyak bergerak,” suara itu kedengaran semula. Segera aku mengalih pandangan pada suara itu.

Iman sedang duduk di sisiku dan merenung tepat ke arahku.

“Apa awak buat kat sini? Apa dah jadi dengan saya?” aku memulakan bicara dengan soalan demi soalan yang menebak hati.

Iman cuma tersenyum. Dia sudah tidak memakai kot putihnya, mungkin telah habis waktu bekerja, aku menelah sendiri. Dia kelihatan segak dalam kemeja berwarna merah jambu dan berseluar hitam. Dia masih persis seperti dulu, hatiku berbisik sendiri.

“Ila... awak pengsan kat koridor tadi, saya yang bawa awak ke sini,” kata-kata Iman itu membuatkan otakku ligat memikirkan kejadian tadi semula. Aku masih ingat, aku terdengar panggilan seseorang namun mataku terlalu lemah untuk dibuka, pasti Iman yang memanggilku tadi. Iman menunjukkan wajah yang gusar.

“Kenapa awak keluar dari wad ni? Awak tak sihat lagi, masih lemah, kalau terjadi sesuatu tadi macam mana? Lain kali beritahu saja saya kalau awak perlukan apa-apa,” Iman mula mengomel.

Aku cuma mengangguk perlahan, pandanganku ku alih ke tepi, untuk bersemuka dengan Iman sekali lagi pun hatiku tidak keruan, apatah lagi untuk meminta bantuannya pula.

“Ila... lain kali jangan keluar sebarangan lagi ya. saya dah beritahu jururawat supaya perhatikan awak, awak masih lemah untuk berjalan-jalan keluar dari wad.”

Aku berpaling semula padanya lantas mula bersuara. “Tapi saya...”

“Ila...” pantas Iman memotong. Suaranya begitu lembut menyebut namaku.

“Saya tahu awak bosan duduk sendirian di sini, tapi ini semua demi kebaikan awak juga, awak patut berehat saja di atas katil sehingga kesihatan awak pulih. Buat masa ni, suhu badan awak masih tinggi, awak masih lemah.”

Mataku membulat memandangnya. Sudah tiada modal untuk membalas kata-kata Iman. Perlahan nafas kuhela seraya mengangguk, akur dengan kata-kata Iman. Iman pula hanya memandang wajahku hingga membuatkan aku berasa sangat segan. Perlahan aku berpaling dari Iman.

Hanya sepi menemani kami saat keduanya kematian kata. Aku tidak berani untuk memandang wajah Iman lagi, Iman pula diam seribu bahasa. Lama kubiarkan sepi itu sebelum kembali berpaling pada Iman, hairan mengapa dia tidak bersuara, hanya desahan nafasnya saja yang kedengaran.

Aku terkesima saat terpandang Iman, dia sudah terlena dalam keadaan duduk di atas kerusi itu. Mungkin hari ini begitu memenatkan baginya, melayan karenah para pesakitnya, ditambah pula melayan aku di sini. Diam-diam aku memerhatikan dirinya.

Iman masih seperti dulu, wajah itu tidak sedikitpun berubah, kalaupun berubah hanyalah wajahnya lebih matang. Rambutnya separas bahu dan disisir kemas, kulitnya sudah lebih putih, mungkin kerana sudah jarang melibatkan diri dalam aktiviti sukan seperti zaman kolej dulu.

“Cik, masa untuk makan ubat.”

Aku segera tersedar dari lamunan, seorang jururawat sedang berdiri di hadapanku sambil memegang satu dulang yang berisi ubat dan air putih. Aku jadi malu sendiri pada jururawat itu kerana pastinya tadi dia melihat aku asyik memandang wajah Iman yang terlelap di sisiku. 


“Terima kasih.” Aku bersuara perlahan saat mengembalikan bekas ubat dan gelas yang sudah kosong itu sambil memandang wajah jururawat itu sekilas, kemudian kembali menunduk, malu untuk memandang wajah jururawat itu lama-lama dek kerana malu yang kian menebal.

“Doktor Iman terlelap di sini lagi?” jururawat itu bersuara, wajahnya kehairanan.

Aku cuma tersenyum seraya mengangguk. Jururawat itu ketawa kecil sambil menutup mulutnya, apa yang lucunya aku sendiri tidak pasti.

“Cik dah lama ke kenal doktor Iman?” jururawat itu bersuara kembali.

Aku terdiam mendengar persoalan itu. Aku harus menipu lagi, hatiku merintih.

Aku menggeleng perlahan. “Baru saja, kenapa nurse?”

Jururawat itu turut menggeleng. “Tak ada apa-apalah.”

“Saya keluar dululah ya, ada apa-apa panggil saya,” pantas jururawat itu meminta diri.

“Err, nurse, doktor ni macam mana?” aku tidak tahu harus berbuat apa.

Jururawat itu tertawa kecil kembali.

“Doktor dah habis kerja, biar sajalah dia di situ. Saya tak boleh buat apa-apa.” Jururawat itu keluar dari bilik sambil tersengih hingga ke telinga.

‘Aku yang terseksa, dia boleh pula tersenyum begitu,’ hatiku membentak. ‘Iman pun satu, boleh pula dia tertidur di sini,’ aku memandang wajah Iman semula.

Wajah polos itu begitu tenang tidurnya tanpa rasa terganggu walaupun saat kehadiran jururawat tadi. ‘Tapi kesian juga, mesti dia penat sangat, sampai tertidur di sini.’ Hatiku terasa sayu saat melihat Iman.

Mata Iman perlahan terbuka, menyebabkan aku cepat-cepat berpaling dari melihatnya.

“Ya Allah, aku tertidur kat sini lagi...” Iman mengeluh perlahan, berbisik pada dirinya sendiri. Dia menggeliat kecil serta mengusap wajahnya. Perlahan dia memandang wajahku.

“Maafkan saya, saya terlelap kat sini pulak,” Iman bersuara sambil mengelus rambutnya. “Entah kenapa, setiap kali saya datang bilik ni, saya rasa selesa sangat, sampai nak terlena.” Iman berkata lagi sebelum tertawa kecil.

“Pukul berapa sekarang Ila?” soalnya tatkala mataku bertaut dengan matanya. Aku segera melihat jam di dinding bilik itu, takut untuk lama menatap sepasang mata itu.

“Pukul sembilan malam.”

Iman kelihatan terkejut, matanya membulat memandangku. “Ya Allah, saya dah terlambat nak balik dah ni.”
Iman bergegas bangun dari kerusi, mengambil beg bimbit yang dijinjing bersamanya tadi lantas segera membuka pintu.

“Esok InsyaAllah saya datang lagi ya. Assalammualaikum.” Ujarnya seraya keluar dari bilik itu. Aku hanya memandang sekujur tubuh itu lenyap dari pandangan, tidak mampu membalas kata-katanya.
Mengapa aku perlu berhadapan dengannya lagi Ya Allah? Hatiku merintih lagi.

“Kamu semua harus membuat tugasan ini secara berpasangan, kamu pilih sendiri pasangan masing-masing, yang penting minggu depan kamu mesti hantar ke meja saya,” Puan Mawar, pensyarah subjek Matematik itu lancar menuturkan kata-kata. Aku jadi tak keruan, dengan siapa pula aku harus berpasangan, Syida pasti mahu berpasangan dengan Farah dan begitu juga sebaliknya.

“Puan, kalau berpasangan dengan perempuan boleh tak?” kata-kata itu buat aku terhenti memikirkan masalah yang bakal timbul, tumpuanku segera beralih ke belakang kelas. Iman dengan yakin bertanyakan persoalan itu.

“Amboi, kamu nak berpasangan dengan siapa ni Iman? ada-ada sajalah kamu ni...” Puan Mawar bertanya. Semua mata tertumpu pada Iman, menantikan jawapan dari mulutnya.

“Saya nak berpasangan dengan Ila, boleh tak Puan?” kata-kata itu lancar keluar dari bibir Iman buatkan aku tergamam. Tersentak mendengar namaku disebut.

Seluruh kelas bergema dengan tawa, Puan Mawar juga kelihatan tersenyum simpul.

“Ikut suka kamulah Iman, asalkan tugasan ni siap sudahlah. Ila, kamu sudi tak nak jadi pasangan Iman ni? Ke kamu dah ada pasangan?” tanpa segan-silu Puan Mawar bertanya, merah mukaku menahan malu.

Aku cuma terdiam, tak mampu membalas.

“Dia setujulah tu cikgu, diam tanda setuju,” kata-kata salah seorang pelajar itu telah menggamatkan kembali dewan kuliah itu. Aku tertunduk malu, segan dipersendakan begitu. Wajah Iman kupandang sekilas, dengan serta-merta dia tersenyum padaku. Aku segera mengalihkan pandangan semula tanpa membalas senyumannya.

‘Ish kenapalah Iman ni suka cari pasal dengan aku, sengaja nak malukan aku depan kelas. Geramnya...’ aku mencebik geram.

“Bestlah Ila, Iman nak jadi pasangan,” Syida berbisik di telingaku.

“Best apanya Syida, sajalah dia tu, nak kacau Ila,” aku membetulkan tanggapan Syida.

_________________________________________________________

“Assalammualaikum,” Iman menegurku di luar kelas selepas habis kuliah. Aku terdiam namun sempat membalas salam itu dalam hati.

“Kami balik dululah ya,” Farah berkata seraya berlalu bersama Syida, sempat lagi mereka tersengih dan menunjukkan isyarat bagus padaku. ‘Sengaja mahu tinggalkan aku dengan Iman lah tu,’ getus hatiku.
“Ada apa Encik Iman?” aku sengaja berformal dengannya.

“Amboi, macam marah saja, tak sudi ke nak berpasangan dengan saya ni,” Iman bagaikan merajuk. Aku memandang wajahnya sekilas, wajahnya tetap tersenyum. Manis sekali, jantungku rasa berdebar-debar.

“Kalau Ila marah, makin comel tau Iman tengok,” ujar Iman membuatkan hatiku tambah tak keruan. Makin diusiknya aku, makin suka aku padanya, entah aura apa yang ada padanya aku sendiri tak tahu.

“Hmm, jom makan-makan dulu kat kafe tu, boleh kita bincang kat sana,” ajakan Iman itu tak mampu kutolak kerana dia dengan pantas melangkah tanpa menunggu persetujuanku. Dengan terpaksa, aku mengekorinya ke kafe.

“Eh Iman la, tapi kenapa dia datang dengan budak gemuk tu, diorang couple ke?” kata-kata bisikan yang kedengaran di telingaku itu terpaksa kutelan walaupun pahit. Aku sedar hakikat yang Iman digilai di kolej itu dan aku tak selayaknya berada di sisinya.

“Err, Iman, saya seganlah jalan dengan awak, apa pulak kata peminat awak nanti...” aku memberanikan diri bercakap padanya usai kami melabuhkan diri di salah satu meja di dalam kafe itu.

Iman memandang wajahku seketika sebelum menghirup air nescafe ais di dalam gelasnya.

“Awak jangan merepeklah, biarkan saja mereka tu. Kalau dengar cakap-cakap orang, sampai mati pun tak habis,” Iman berkata selamba sambil menghirup kembali air di dalam gelasnya.

Aku tersenyum sendiri mendengar kata-katanya itu, rasa lega kerana Iman memahami perasaanku.

______________________________________________________

“Assalammualaikum,” salam itu sekali lagi kedengaran namun kali ini aku tersedar yang aku masih berada di dalam hospital dan bukannya di dalam kafe bersama Iman. “Waalaikumussalam,” perlahan aku membalas sebelum berpaling pada arah suara itu. Iman sedang berdiri di hadapan pintu dengan sejambak bunga dan sebakul buah-buahan.

“Ni saya bawa khas untuk Ila,” Iman bersuara sambil meletakkan bunga dan buah-buahan itu di atas meja di sisiku.

“Untuk saya? Buat susah-susah saja doktor.”

Iman memandangku dengan riak yang berubah.

“Kan saya dah cakap, panggil Iman saja, tak perlu panggil doktor pada saya.” Iman meluahkan ketidakpuasan hatinya.

Aku memandang Iman yang sedang asyik mengupas sebiji epal, sambil sesekali memandang wajahku.

“Saya kan pesakit doktor, jadi selayaknya saya memanggil doktor dengan panggilan doktor.” Aku cuba melawan.

Iman memandangku lantas menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Kalau saya tengah merawat awak, tak apalah awak nak panggil saya doktor, tapi sebagai kawan seeloknya panggil saya Iman saja, bolehkan Ila?”

‘Kawan? Sejak bila aku berkawan dengannya? Ya memang aku adalah kawannya sejak 8 tahun lalu, namun itu tak bererti dia masih kawanku sekarang, dia pun tidak mengenaliku lagi,’ hatiku ligat berkata-kata.

“Ila, awak dah boleh keluar wad hari ni, awak tahu tak? Keadaan awak dah stabil dan tak ada tanda-tanda demam denggi, kesihatan awak pun dah semakin pulih, saya baru terima berita tu tadi,” kata-kata Iman mengejutkan aku, namun pada masa yang sama, aku rasa sangat bersyukur. “Alhamdulillah,” aku bersuara, lega rasanya kerana semua bakal berakhir.

“Entah bila pulak kita akan berjumpa kan? Tapi saya harap lepas ni persahabatan kita takkan terhenti di sini. Nanti bila ada masa, saya contact awak ok?”

Aku terdiam mendengar luahan hatinya, ikhlas sekali kurasakan. Sebolehnya aku ingin sekali memberitahu Iman supaya tidak menghubungiku lagi, aku tidak mahu disakiti lagi tapi melihat keikhlasannya, aku terus kehilangan kata, tak sanggup melukakan hatinya.

“Nah makan epal ni,” dia berkata seraya menghulurkan sepotong epal padaku, perlahan aku mengambil epal itu di tangannya, tidak mahu mengecilkan hatinya walaupun aku tiada selera untuk menjamah.

“Assalammualaikum Ila,” suara itu tiba-tiba muncul menyebabkan aku terkedu. Pantas aku menoleh, Safwan menutup pintu perlahan seraya bergegas ke arahku.

“Ila ok ke? Kenapa tak beritahu Wan yang Ila masuk hospital?” Safwan berkata dalam nada yang cemas. Aku terkejut melihat kehadiran Safwan di situ padahal kursusnya belum tamat.

“Wan, apa Wan buat kat sini? Kan Wan ada kursus lagi?” aku tidak menjawab persoalan Safwan, sebaliknya memulangkan persoalan padanya.

Safwan memandang Iman yang berada di sisiku dengan pandangan tidak puas hati sebelum kembali memandang ke arahku.

“Wan mintak untuk pulang lepas Wan tahu Ila masuk hospital.”

“Kenapa Wan buat macam tu? Ila ok je lah. Wan tak payah khuatir,” aku cuba menyedapkan hati Safwan.
“Apa dia buat kat sini?” Safwan bertanya dengan nada jelak saat melihat Iman di sisiku.

“Wan, cakap baik-baik sikit boleh tak, ni doktor yang merawat Ila kat sinilah,” aku menasihati Safwan yang sudah melampau.

“Doktor apa sampai tolong kupas-kupas buah, siap bagi bunga lagi,” Safwan masih tak puas hati.

Air mataku hampir gugur mendengar kata-kata Safwan, hatiku merasa geram dengannya. Wajah Iman juga kelihatan berubah.

“Iman, tolong keluar sekejap boleh tak? Ila nak cakap dengan Wan kejap...” Iman segera bangun saat mendengar permintaanku.

“Saya keluar dululah ya,” tangannya dihulur untuk bersalaman dengan Safwan namun Safwan buat tak endah pada Iman lantas memaksa Iman menarik semula tangannya dan segera berlalu.

Saat pintu sudah tertutup rapat, aku segera mengalih pandangan pada Safwan.

“Wan, lain kali jangan cakap macam tu boleh tak? Tolonglah hormati orang lain,” aku meluahkan rasaku.
Safwan terdiam mendengar kata-kataku. Rambutnya dielus ke belakang.

“Wan... Wan tak sukalah dia dekat dengan Ila. Wan tahu dia tu ada udang di sebalik batu. Dia sengaja nak rapat dengan Ila.”

Safwan melepaskan segala isi hatinya, aku terdiam mendengar kata-kata Safwan.

“Wan, tolonglah, kalaupun Wan tak suka dia, jangan sampai dia sedar. Kita ni sebagai manusia kena selalu berbuat baik sesama kita dan jangan menyakiti orang lain. Kalau boleh cari kawan ramai-ramai dan jangan cari musuh. Niat dia cuma nak berkawan dengan Ila, tak lebih dari itu.”

Safwan mengeluh, masih tidak puas hati agaknya.

“Wan tak rasa dia cuma nak berkawan dengan Ila.”

“Sudahlah Wan, Ila tak mahu dengar semua ni, jangan fikir yang bukan-bukan. Wan penat kan? Wan baliklah dulu, InsyaAllah hari ni Ila dah boleh balik. Jadi jangan risau ya.”

“Ila dah boleh balik? Nanti Wan ambil Ila dari hospital, boleh?”

“Eh tak payahlah Wan, nanti Ila suruh Farah datang ambil Ila, Wan kan masih penat, baliklah rumah berehat, nanti kita jumpa.”

Safwan mengangguk, lalu bingkas bangun.

“Nak Wan buangkan bunga tu ke?” Safwan cuba mendugaku sambil merenung bunga tulip yang terletak di atas meja.

“Safwan!” aku geram namun masih bisa tersenyum.

Safwan tersengih lantas keluar dari bilikku itu.

‘Wan, Wan, suka mengikut perasaan,’ aku menggeleng perlahan.

Kalimah Cinta Bab 6-10 Rating: 4.5 Diposkan Oleh: Kusen Almunium Lampung