Kumpulan dari Cerpen Cinta Melayu.

Kalimah Cinta Bab 11-15


“Ila, nurse kat kaunter tu cakap, Ila tak payah bayar apa-apa, semuanya dah selesai,” Farah yang menguruskan urusanku untuk keluar wad menyampaikan berita itu.

Aku tercengang, soal bayaran yang menganggu ketenanganku selama ini tiba-tiba selesai sedangkan aku belum membayar walau sesen dari hampir lima ribu ringgit itu. Baru saja aku terbayang, aku ditahan dari keluar dari wad, kerana tidak mampu membayar jumlah itu. Aku memandang wajah Farah dengan rasa tidak percaya. 

“Takkanlah Farah, siapa pulak yang nak bayarkan kos rawatan tu?” aku terasa bagaikan bermimpi.

“Entahlah Ila, nurse tu tak beritahu pun siapa yang selesaikan. Sekarang nampaknya Ila dah tak perlu risau la dengan soal bayaran tu. Syukur...” Farah menadah tangan dan mengaminkannya sebelum tersenyum padaku.
Aku terdiam, memikirkan gerangan insan yang sudi melangsaikan segalanya. ‘Mungkin Safwan, tapi Safwan bukannya tahu tentang kos rawatan ni, lagipun dia baru pulang. Ah mustahil Safwan.’ Hatiku meneka-neka.

“Ntah-ntah Iman!” Syida yang sedari tadi asyik mengemas barangku mula bersuara. Farah dan diriku saling berpandangan.

“Ah tak mungkinlah Syida, takkanlah dia yang tak punya sebarang kaitan dengan Ila, nak langsaikan semua ini?” aku membuat andaian sendiri.

“Manalah tahu, lebih baik Ila tanya dia, untuk kepastian,” Farah memberi pandangan. Aku buntu, kalau boleh aku malas hendak bertemu Iman lagi. Hatiku terasa sakit setiap kali berada bersamanya, namun aku harus mendapatkan kepastian, kerana aku tak sanggup untuk berhutang dengan sesiapa, apatah lagi dengannya.

“Nantilah Ila fikirkan dulu.”

“Ila tak mahu ucap selamat tinggal pada dia dulu ke? Takkan Ila nak keluar dari wad ni macam tu saja,” soal Syida dengan bersungguh.

Aku hanya tersenyum tawar, buntu mahu berbuat apa.

“Biar sajalah Syida, Ila malas nak ganggu dia,” aku nekad membuat keputusan.

Farah dan Syida bingkas bangun, aku mengekori mereka dari belakang, meninggalkan bilik wadku yang telah kudiami selama tiga hari. 

Saat aku tiba di lobi hospital, aku terdengar seseorang memanggilku. Segera aku berpaling dan melihat Iman sedang berlari anak ke arahku.

“Kami tunggu kat kereta ya,” Farah meminta diri sambil menarik Syida bersamanya, sengaja memberi peluang untuk aku dan Iman.

Iman berhenti saat benar-benar berdiri di hadapanku. Dia melepaskan penatnya sebelum memandang wajahku.

“Kenapa Ila tak beritahu Iman yang Ila dah nak keluar? Kalau tak, Iman boleh hantarkan. Iman ingat nak jumpa Ila lepas habis bertugas, tapi Ila cepat sangat nak balik ni kenapa?” Iman menyoalku bertubi-tubi. 

“Err, tak apalah Iman. saya boleh balik sendiri, kawan-kawan saya dah datang ambil saya. Saya tak mahu ganggu awak, sebab tu saya tak beritahu awak saya dah nak balik.”

“Hmm, kalau macam tu tak apalah, tapi kalau Ila ada masalah, jangan segan-segan jumpa saya ya. InsyaAllah saya akan tolong,” kata-katanya itu membuatkan aku teringatkan sesuatu.

“Iman,” aku memanggilnya perlahan. Dadaku rasa bergetar saat menyebut nama itu.

“Ya Ila?” Iman memandangku dengan penuh minat.

“Saya nak tanya awak sikit ni, saya harap awak bercakap jujur,” aku menghela nafas saat habis berkata.
Iman yang masih tajam memandangku, mengangguk perlahan. “InsyaAllah,” balasnya pendek.

Perlahan aku memandangnya, mencari kekuatan untuk bertanya dan dalam masa yang sama, mengharapkan bukan dia orangnya yang membayar kos rawatanku.

“Iman ke yang bayarkan kos rawatan saya?”

Iman tersentak saat mendengar soalanku, matanya dilarikan ke arah lain, rambutnya dielus ke belakang, bibirnya seperti teragak-agak untuk menyatakan sesuatu.

“Iman, tolong jujur dengan saya, saya mintak sangat...” aku merayu padanya. Perlahan kudengar Iman menghela nafas, panjang.

“Kalau Iman berterus terang, Iman harap Ila tak marah ya.”

Aku hanya mengangguk.

“Ya, Iman yang bayarkan semua tu, tapi Ila tak perlu bayar semula, Iman ikhlas,” Iman bersungguh memberitahu.

Aku terdiam, nampaknya benar telahan Syida dan Farah, aku saja yang tidak mahu percaya. Perlahan aku mengeluh.

“Iman, saya tak mahu berhutang dengan awak, apatah lagi dengan jumlah yang begitu banyak.”

“Tak apa Ila, Iman ikhlas, Ila jangan risau, Ila tak hutang apa-apa dengan Iman, Ila tak perlu bayar semua ni, lagipun Iman memang sengaja tempatkan Ila kat wad kelas satu tu, sebab Iman memang nak bayarkan.”

“Tapi awak...” aku masih tidak puas hati.

“Ila, tolong terima pemberian ikhlas saya tu boleh tak?” Iman meminta.

“Tapi... tapi saya tak mampu terima. Saya tak sanggup berhutang dengan awak, apatah lagi jumlahnya bukanlah sedikit. Saya tak mahu termakan budi, kita pun baru kenal dan saya bukanlah siapa-siapa bagi awak, saya tak sanggup terima semua ni,” aku cuba menegaskan. 

Iman terdiam, riak wajahnya berubah, perlahan dia meraup wajahnya, mencari kekuatan barangkali untuk meneruskan bicara.

“Ila, dengar sini. Iman memang ikhlas tanpa mahukan balasan apa-apa dari Ila, apatah lagi untuk meminta Ila membalas budi. Bagi Iman, mengenali Ila dah cukup untuk Iman lakukan semua ni,” Iman bertegas.

“Tapi...” Iman menyambung. “Kalau Ila nak bayar jugak boleh, tapi bersyarat.”

Aku terdiam. Demi menjelaskan hutang ini, apapun sanggup kulakukan, aku tidak mahu terhutang budi apatah lagi dengan Iman.

“Ila sanggup ikut syarat Iman?” soalnya.

“Apa syaratnya?”
______________________________________________________________________

Aku termenung sendirian di dalam bilik guru, kata-kata Iman tempoh hari masih terngiang-ngiang di telingaku. Gara-gara mahu melangsaikan hutang, begini pula jadinya. Aku jadi tak keruan, memikirkan syarat yang Iman kenakan.

“Ila kena berjumpa sendiri dengan Iman, berikan duit tu pada Iman sendiri, kalau tak, Iman tak nak terima. Ila boleh bayar sikit-sikit, Iman tak kisah. Boleh?”


Syarat yang bagaikan menjerat diriku sendiri, semakin aku mahu menjauhinya, semakin hampir pula dia mendekati, kusut jadinya fikiranku ini. Dalam keterpaksaan, aku terpaksa menerima syarat itu demi untuk tidak berhutang dengannya.

Iman kelihatan gembira saat aku menyatakan persetujuanku sedangkan aku rasa sangat terseksa. Mengapa dia sengaja mahu membuatku sebegini, tidak cukupkah dia membuatku menderita selama ini.

“Termenung nampak? Ingatkan doktor yang jauh di mata lah tu,” Safwan menegur saat duduk di sebelahku. Aku memandangnya geram, sudahlah aku dihimpit masalah ini, Safwan pulak tak habis-habis dengan cemburu.

“Wan kalau tak naikkan darah Ila sehari tak sahkan? Wan tahu tak Ila tengah serabut ni,” aku mengomel.
Safwan terdiam. “Ila serabut sebab apa? Kalau ada masalah, biar Wan tolong,” kata-kata Safwan membelitku, takkanlah aku mahu ceritakan padanya tentang hutang antara aku dengan Iman, dan syarat yang Iman kenakan, nanti hanya menambah cemburu di hati Safwan.

Perlahan aku mengeluh. “Tak ada apa-apalah Wan, serabut kerja ni, banyak tertangguh, sebelum cuti tak sempat siapkan,” aku berdalih.

Safwan memerhatikan buku-buku yang bertimbun di atas mejaku seraya mengangguk, biarpun itu bukanlah perkara yang menyerabutkan otakku, namun sekurang-kurangnya alasan itu kukuh untuk Safwai percayai.
“Wan pun banyak kerja tertangguh sebab pergi kursus tempoh hari,” Safwan mengadu.

Aku menjelingnya. “Dah tahu kerja banyak, datang kacau orang lagi ni kenapa? Pergilah buat kerja,” aku tertawa kecil.

“Ala, orang datang tengok buah hati kejap pun nak marah...” Safwan bingkas bangun sambil tersengih.

“Siapa buah hati Wan ek? Tak ada siapa pun kat sini,” aku menafikan kata-katanya. Belum ada sebarang hubungan pun sudah berani mengaku aku buah hatinya, sukar benar mengawal kata-kata Safwan yang suka bercakap ikut sedap mulut.

“Dah tahu pun, tak mahu mengaku...” Safwan berkata saat keluar dari bilik guru itu. Setelah kelibatnya hilang, aku segera menyambung kerja, malas mahu memikirkan tentang Safwan mahupun Iman lagi.

Kerjaku terhenti saat telefonku berdering, segera aku melihat skrin telefon. Satu nombor tidak kukenali tertera di skrin itu. ‘Siapa pulak ni?’ aku tertanya sendiri. Tanpa melengahkan masa, aku segera menekan punat hijau.

“Assalammualaikum, siapa ni?” soalku.

“Waalaikumussalam Ila...” suara dari corong telefonku itu terus menusuk ke jantung, pantas sekali aku mengecam suara itu. ‘Iman,’ hatiku terdetik.

“Ni Iman bercakap. Ila macam mana sekarang, sihat ke?” Iman lembut bertanya.

“Alhamdulillah, saya dah sihat. Terima kasih atas jagaan dan rawatan awak selama ini.”

“Eh itu memang dah tugas saya.”

“Iman, saya nak minta maaf, saya tak dapat nak bayar lagi hutang saya pada awak, InsyaAllah minggu depan saya dapat gaji saya bayar ya...”

“Eh tak apalah Ila, Iman bukan telefon untuk tanya soal hutang, bila-bila masa Ila nak bayar, beritahu saja Iman. Iman sekadar nak tanya khabar dan ingatkan Ila tentang nombor telefon Iman ni, takut Ila tak simpan.”
‘Eh macam tahu pulak, aku tak simpan nombor ni,’ aku bermonolog sendiri.

“Ok Iman, Ila akan simpan nombor ni, terima kasih banyak-banyak ingatkan Ila.”

“Sama-sama. Ila jaga kesihatan ya, jangan kerja teruk sangat, tidur secukupnya, jangan lewatkan waktu makan, kalau sakit atau demam, cepat-cepat jumpa doktor ya.”

Kata-kata Iman itu buatku terdiam. Banyak sungguh pesanannya padaku, mengapa dia begitu mengambil berat padaku? Berbeza benar dengan Iman yang pernah kukenali dulu, yang hanya memikirkan diri sendiri dan tidak pedulikan orang lain.

“Ila, dengar tak?” kata-kata Iman mengejutkan aku yang menerawang entah ke mana.

“Saya dengar, terima kasih Iman. InsyaAllah saya akan jaga kesihatan.”


Aku mendaki anak tangga ke arah kafe yang diberitahu Iman dalam perbualan telefon sebelum ini. Memang niatku untuk bertemunya hari ini bagi membayar hutangku sementelah gaji telah kuperoleh semalam.
Mataku meliar mencari kelibat Iman di dalam kafe itu, yang agak sesak dengan pengunjung kerana hari itu ialah hari cuti hujung minggu. Dari satu sudut kafe yang agak tersorok, Iman melambai tangannya padaku. Segera aku menghampiri susuk tubuh itu yang tersenyum padaku dari jauh lagi.
“Assalammualaikum doktor...” aku bersuara sebelum duduk di hadapannya. 
“Waalaikumussalam, Ila apa khabar?” pantas Iman bertanya.
Aku cuma menggangguk, tanganku sudah kuseluk di dalam tas tangan, ingin mengambil duit yang telah kusediakan untuk di bayar pada Iman. Saat sampul berisi wang itu telah kugapai, aku segera menghulur padanya.
“Eh Ila nak makan apa ya? waiter!” cepat-cepat Iman memanggil pelayan hingga aku tidak mampu berkata apa-apa.
“Err, doktor saya datang bukan nak makan, saya nak pulangkan duit ni,” aku kembali menghulurkan bungkusan itu.
Iman tidak melayanku sebaliknya sibuk bercakap dengan pelayan yang datang.
“Ila nak makan apa?” dia bertanya lagi tanpa mengendahkan kata-kataku sebentar tadi.
“Saya tak mahu apa-apa...” aku membalas sambil menggeleng. Pening memikirkan karenah Iman yang tiba-tiba tidak mempedulikanku.
“Bagi sama macam saya sajalah macam tu ya,” Iman memesan pada pelayan itu.
Aku memandangnya tajam, meminta kepastian, tidak suka diperlakukan sedemikian rupa.
“Doktor, tujuan saya datang cuma...”
“Ila, kan saya cakap jangan panggil saya doktor,” Iman cepat-cepat memotong.
Aku kehilangan kata.
“Err Iman, saya...”
“Ila, awak temankan saya makan ya! kalau tidak, saya tak mahu terima,” Iman berkata lagi, kali ini dengan lebih tegas.
“Tapi...” aku ingin membantah tetapi pantas Iman memotong.
“Tak ada tapi-tapi lagi Ila, temankan saya ok! Sekejap saja,” kata-kata Iman buat aku mengalah. Sudah tiada daya untuk membantah kata-katanya lagi. Perlahan aku bersandar pada kerusi, melepaskan keluhan yang berat. Aku memandang Iman sekilas, namun dia hanya terus tersenyum padaku.
Aku cepat-cepat mengalih pandangan ke seluruh isi kafe tersebut. Memang penuh kafe itu hari itu, dan kebanyakan yang datang ialah keluarga dan mereka yang berpacaran. Rasa kekok pula bila membayangkan aku dan Iman yang tiada kaitan apa-apa, turut menyertai mereka bersantap di situ. Pasti mata-mata yang memandang menyangka aku dan Iman turut berpacaran. Oh memang indah jika itu semua terjadi, namun aku tak sanggup membayangkannya sedemikian rupa, tidak mahu menambah luka di dalam dada.
“Ila....” perlahan suara Iman memanggil. Menyedarkan aku yang sedang asyik memerhati sekeliling tanpa mempedulikan kehadirannya di hadapanku.
Pantas aku memandang Iman semula. Aku melihatnya takut-takut, takut hendak memandang sepasang mata itu. Takut andai rasa cinta yang terpendam dalam hati terpamer dari wajahku.
“Ya Iman...” aku membalas panggilannya.
Iman membetulkan duduknya, sikunya menongkat meja, merapatkan jarak antara aku dan dia.
“Awak marahkan saya ke? Sebab memaksa awak sebegini?”
Aku terdiam mendengar soalannya, perlahan aku menggelengkan kepala.
“Tak adalah Iman, cuma Ila rasa kurang selesa.”
“Maafkan saya jika awak rasa terpaksa. Tapi dengan cara ini sajalah saya bisa membuatkan awak sudi untuk keluar makan dengan saya. Saya tahu awak takkan terima perlawaan saya dalam keadaan biasa kan?”
Aku terkedu. Iman seolah dapat membaca pemikiran aku yang memang tidak sanggup bertemu dengannya lagi. Aku berjumpanya hari ni pun kerana terpaksa, terpaksa dek kerana tidak mahu menanggung budi Iman sepanjang hayatku.
“Ila, saya ikhlas nak berkawan dengan awak, tapi entah mengapa, saya rasakan awak mahu menjauhkan diri dari saya. Makin saya dekat dengan awak, makin awak lari.”
Aku memandang wajahnya penuh kegusaran. Tidak tahu bagaimana lagi untuk membalas kata-katanya. Adakah dia sedar selama ini aku cuba menjauhkan diri darinya?
“Encik, silakan menjamu selera,” kata-kata pelayan yang entah bila ada di depan kami, terus membantutkan perbualan itu.
Aku memandang hidangan di hadapanku saat itu. Hidangan chicken chop dan kopi latte itu lansung tidak menaikkan seleraku, dek kerna teringatkan kata-kata Iman tadi.
“Makanlah Ila, maaf Iman pilih saja menu tu untuk Ila sebab Ila tak membalas pertanyaan Iman tadi, tak apa kan?” Iman bersuara sambil tangannya sudah bersedia dengan pisau dan garfu.
Aku sekadar menggelengkan kepala seraya tersenyum. Perlahan aku mengangkat pisau dan menghiris sedikit ayam itu lantas disuapkan ke mulut walaupun terasa seperti menelan batu. Terasa kekok sekali untuk makan sambil mengadap Iman, degupan jantungku ini hanya Tuhan yang tahu betapa lajunya ia berdetak.
Aku menyuap makanan ke mulutku lambat-lambat sambil terus menunduk, takut untuk memandang wajah Iman. Janggal sekali bila berhadapan dengan situasi sebegini.
“Ila...” panggilan itu sekali lagi menerjah sepiku. Buatkan aku mendongak memandang Iman.
Wajah Iman kelihatan serius memandangku, biarpun begitu, masih ada redup dalam matanya yang bisa membuatkan aku berasa tenang.
“Tolong jangan jauhkan diri atau larikan diri dari saya lagi boleh tak? Saya tak tahu macam mana lagi saya nak cakap dengan awak. Tapi saya memang ikhlas berkawan dengan awak. Tak ada niat lain langsung. Saya harap awak faham.”
Aku terkedu mendengar kata-kata dari Iman.
“Saya... saya tak pernah larikan diri dari awak pun,” aku cuba berdalih.
Iman tersenyum sinis sambil menggelengkan kepalanya.
“Awak tak perlu menafikannya Ila, saya sedar awak macam tak sudi untuk berkawan dengan saya selama ini.”
Aku menelan liur. Kenapa Iman terlalu bijak menduga hati ini, bagaikan tiada tabir antara hatiku dengan hatinya hingga dia mampu menembusi kalbuku yang paling dalam.
“Ada sesuatukah yang awak sembunyikan, yang menghalang awak berkawan dengan saya Ila?” Iman menyambung katanya dengan persoalan yang bagai membunuhku.
Aku terdiam seketika sebelum memandang wajah Iman semula.
“Kenapa awak nak sangat berkawan dengan saya sedangkan selama ini kita tidak pernah ada apa-apa perkaitan?” aku cuba menduga hatinya pula.
Iman tersandar di kerusi saat mendengar soalanku itu. Matanya meliar ke atas seperti memikirkan sesuatu, jawapan barangkali. Perlahan wajahku ditenung semula, badannya dirapatkan ke meja.
“Saya tidak tahu Ila.”
Perlahan mata itu kian redup, mengharapkan aku mengerti isi hatinya yang tidak terluah dek mulut.
“Saya memang tak tahu sebab apa saya mahu sangat berkawan dengan awak. Tapi perasaan ini datang tiba-tiba. Saat pertama kali lihat awak, saya rasa macam dah lama mengenali awak. Saya rasa rindu sangat. Entah mengapa Ila...”
“Rindu?” aku berasa pelik dengan perkataan itu. Iman rindukan aku? Mati hidup semula pun aku takkan percaya kata-katanya itu.
Iman tersenyum.
“Awak abaikan sajalah semua yang saya cakap tadi. Saya pun tak sedar apa yang saya merepek,” Iman kelihatan malu, segera dia menghadap makanannya semula. Meninggalkan aku dengan seribu satu perasaan yang sukar ditafsir.
Usai menjamah hidangan, Iman segera memanggil pelayan dan membayar bil. Aku hanya mampu terdiam, dapat mengagak yang dia pasti tidak akan menerima andai aku cuba membayar hidanganku sendiri. Aku bingkas menghulur semula bungkusan berisi wang tadi, Iman memandangku seketika sebelum mengambil bungkusan itu dari tanganku.
“Terima kasih Ila, dan terima kasih jugak sebab sudi temankan saya makan.”
“Err, saya yang patut berterima kasih sebab belanja saya makan, saya banyak terhutang budi pada awak.”
“Jangan cakap macam tu Ila, saya tak minta awak rasa terhutang budi macam ni. Saya ikhlas, sebagai kawan.”
Aku memandangnya atas bawah. Lagi-lagi persoalan kawan itu juga yang timbul, mengapa berusaha benar dia ingin berkawan denganku, aku bukanlah orang penting dalam hidupnya hingga perlu dijadikan kawan. Aku bukan siapa-siapa padanya. Hanya seorang insan yang pernah hadir dalam kamus hidupnya, itu sahaja. Tapi bukankah itu ertinya kita memang berkawan? Ahh itu dulu Ila, dulu.
“Ila, awak ok?” aku tersedar saat mendengar suara Iman. jauh benar aku mengelamun rupanya, dek kerana perkataan kawan itu telah membuatkan aku bertelagah dengan hatiku sendiri.
Aku mengangguk seraya tersenyum.
Tiba-tiba telefon Iman berbunyi, mengalunkan irama nasyid kegemaranku. Ya Allah, bagaikan suatu kebetulan, aku juga menggunakan nada tersebut. Aku jadi gamam.
“Assalammualaikum...” Iman memberi salam pada pemanggil sebelum suaranya kian perlahan kudengar. Mungkin dia tidak mahu aku mendengar perbualannya.
“Saya keluar makan dengan kawan, nanti saya call awak balik,” bisikan itu masih mampu menerobos gegendang telingaku.
Terus ingatanku terbayangkan doktor perempuan itu, yang pernah kutemui suatu ketika dulu. Siapa namanya? Oh ya, Ida. Pasti dia, aku yakin dengan tekaanku. Layanan Iman yang baik terhadapku buat aku lupa seketika yang Iman sudah berpunya.
“Ila..” suara itu buat aku kembali ke alam nyata. Wajah Iman kupandang lantas kulemparkan senyuman. Entah bila dia selesai berbual di telefon, aku sendiri tidak sedar dek kerna asyik mengelamun itu ini.
“Saya minta diri dulu ya Iman,” perlahan aku bangun dari dudukku.
“Eh biar saya hantar awak Ila,” Iman menghalang.
“Tak apa-tak apa. Tak payah susah-susah, saya boleh balik sendiri.”
“Ila, saya hantar sampai tempat parking saja, boleh?” suaranya seakan merayu.
Aku tidak mampu melawannya lagi, lantas aku mengangguk. Iman ikut bangun lantas mengekoriku.

Suasana malam itu hening sekali, bukanlah sunyi secara harfiahnya, namun kehadiran Iman di sisiku membuatkan aku merasa seluruh alam menjadi sepi. Cuma sesekali terdengar bunyi deruman kenderaan yang memekakkan gegendang telinga.
“Ila...” Iman memecah sepi antara kami, aku bingkas menoleh ke arahnya.
“Ada apa?” tombol pintu keretaku sudah kupegang, hanya menunggu masa untuk kubuka.
“Awak dah nak balik ke?”
Soalannya itu buatkan aku terkedu. Apa lagi yang Iman mahukan dariku, sampai bila dia mahu menyiksa hatiku ini?
“Ya Iman, kenapa?” tanyaku endah tak endah. Hatiku berharap untuk segera lari dari semua ini.
“Ila, sebenarnya saya...”
“Ila!” laungan itu segera mematikan kata-kata Iman. Kami serentak menoleh ke arah suara yang memanggilku.
Salima melambai-lambai ke arahku, di sisinya kelihatan seorang lelaki hampir sebaya dengannya dan tiga orang anak kecil dalam lingkungan tiga hingga tujuh tahun, mungkin suami dan anak-anaknya. Aku tergamam.
Saat wanita lingkungan awal tiga puluhan itu menghampiri kami, aku menjadi tidak betah. Tidak pasti apa yang harus kubuat, dan apa yang harus kukatakan. Aku pandang Iman sekilas, dia hanya tersenyum memandang Salima dan kemudiannya beralih memandangku seraya tersenyum lagi. Tidak risaukah dia melihat Salima? Oh pasti dia tidak risau, tapi aku yang risau, ibarat pesalah menunggu hukuman. Apa katanya nanti bila dia melihat aku bersama Iman? pasti dia menyangka yang bukan-bukan sedangkan aku bermatian menegaskan padanya yang Iman tidak punya sebarang perasaan padaku, aku juga tidak punya hubungan dengannya, alih-alih dia menangkap aku bersama-sama Iman malam ini. Apa lagi alasan yang mampu kuberi?
“Ila! Tak sangka jumpa Ila kat sini kan?” Salima kelihatan sungguh gembira sambil tangannya menepuk bahuku. Aku hanya mampu tersenyum tawar.
“Doktor, tak sangka jumpa kat sini kan?” Salima ramah menegur Iman pula sambil matanya menjeling ke arahku.
“A ah kak, tak sangka...” Iman elok melayan Salima, walaupun matanya dikerling padaku. Aku gusar menanti soalan apa pula yang Salima bakal ajukan. Bertembung dengannya di sini pun sudah pasti menimbulkan pelbagai spekulasi dalam benaknya.
“Err, Ila dengan doktor Iman buat apa kat sini? Dating ek?” Salima cuba serkap jarang sambil senyuman dah hampir nak cecah telinga. Aku terlopong mendengar soalannya. Memang soalan maut.
“Eh tak adalah kak, saya yang ajak Ila keluar, nak tanya khabar, dah lama tak jumpa lepas dia keluar dari hospital. Saja nak tahu perkembangannya.” Iman bijak bermain kata-kata. Selamat aku. Perlahan aku menarik nafas lega.
“Oh bagusnya doktor, bertuah Ila dapat doktor macam ni...” Salima seakan memerliku, panas juga telingaku mendengarnya namun aku buat acuh tak acuh.
Iman tersenyum manis, menggosok belakang kepalanya, wajahnya mula merah.
“Kak nak pergi mana pulak malam-malam ni?” aku sengaja melarikan topik yang berkisar soal aku dan Iman kepada soal Salima pula. Sengaja aku buat-buat memberi perhatian supaya Salima tidak mampu untuk bertanya soalan lagi sebaliknya menjawab persoalanku.
Salima kelihatan mengerling ke arah keluarganya yang menanti di belakang dalam jarak lima meter dari kami, mungkin memberi ruang untuk Salima berbicara denganku dan Iman.
“Tadi akak keluar makan lepas tu akak ingat nak pergi I-City pulak kejap lagi. Teringin nak tengok lampu-lampu yang cantik tu. Asyik tengok gambar kawan-kawan kat Facebook aja, teringin jugak akak tengok sendiri, cantik sangat ke.”
Iman tergelak kecil mendengar omelan Salima. Aku hampir tersenyum melihat Iman ceria begitu.
“Ila, marilah join akak sekali, alang-alang dah jumpa kat sini,” tiba-tiba saja Salima memberikan cadangan. Aku terdiam, cuba memikirkan ajakan itu.
“Doktor, jomlah...” ajak Salima pada Iman pula.
“Why not?” Iman dengan pantas menerima ajakan itu, aku tercengang memandangnya, tidak percaya dia mampu bersetuju secepat itu.
“Tapi dengan syarat Ila kena ikut lah.” Kata-kata itu buat aku terjerat, sengaja mengumpan aku untuk turut menyertainya.
“Ila marilah, ajak doktor sekali,” ajakan Salima yang bersungguh itu membuatkan aku mengalah, perlahan aku mengangguk. 
 Kereta kami masing-masing menderu di jalan raya. Dalam keterpaksaan, aku mengekori saja kereta Waja milik keluarga Salima dan Mitsubishi Lancer putih milik Iman dengan kereta Gen2 ku. Dalam hati ada juga berbolak-balik mahu memusingkan arah kereta ke arah jalan rumahku, namun memandangkan sudah bersetuju dengan Salima, kugagahi jua untuk mengikut.
Kalau keluarga Salima saja yang ada, aku tidak kisah sangat, tapi kehadiran Iman yang membuatkan aku tidak tentu arah. Tadi cepat-cepat aku mahu pergi darinya, tapi kehadiran Salima seolah sengaja mahu melambatkan aku dari mengucapkan selamat tinggal pada Iman malam itu.
Usai parkir di tempat letak kereta, aku berjalan ke arah Salima yang sudah teruja berjalan dengan pantas bersama ahli keluarganya.
“Ila tunggu!” suara itu membuatkan aku teringat yang Iman masih bersamaku.
Iman terkocoh-kocoh mendapatkanku lantas ikut jalan beriringan denganku di belakang keluarga Salima. Rasa pelik pula mengikut keluarga orang ke taman ini, namun memandangkan aku dan Salima sudah ibarat adik dan kakak, kugagahi juga membuang rasa segan yang bersarang dalam diri. Iman pula, entahlah, dia seolah lansung tidak merasa segan, biarpun dia tidak begitu mengenali Salima sekeluarga, tapi dia lebih nampak kurang malu dari aku yang telah lama mengenali Salima.
Anak-anak Salima kelihatan riang melihat pelbagai patung dan pokok yang dihias indah dengan lampu berwarna-warni. Ada saja patung yang ingin dipegang anak-anaknya. Aku cuma ikut memerhati namun kekaguman tetap ada saat melihat keindahan lampu-lampu yang berkilauan. Sesekali mataku tertancap lama pada pokok yang berwarna-warni itu, cuba meneliti struktur rekaan dan susun letak lampu-lampu itu, sekadar ingin tahu.
“Cantik kan?” Iman memecah hening yang kubina sejak tadi, sengaja aku buat tidak sedar akan kewujudannya supaya hatiku tidak segundah biasa, namun Iman tidak pernah kenal erti putus asa untuk berbicara denganku.
Aku memandangnya yang ikut membongkok sepertiku, merenung sebuah patung rusa yang berwarna-warni. Cepat-cepat aku berdiri seperti biasa.
“A ah, cantik.”
“Awak tak pernah datang sini lagi?”
“Tak pernah.”
“Awak memang patut datang ke tempat yang tenang dan indah macam ni, barulah awak tak senang jatuh sakit.”
Mataku membulat memandangnya. Macam perli saja.
“Awak kena banyak berehat, jangan selalu stress-stress,” dia masih menyambung.
“Ya baik doktor, saya faham,” aku sengaja menekankan perkataan doktor itu, supaya dia sedar kata-katanya itu ibarat seorang doktor kepada pesakitnya.
“Opps, maaf, saya dah melebih pulak. Tapi memang betul pun apa yang saya cakap ni Ila. Saya risau tengok awak, muka pucat,nampak letih dan cepat jatuh sakit.”
Risau? Kenapa pulak dia perlu risau?
“Saya boleh jaga diri saya Iman. awak janganlah risau ya.” aku segera melangkah ke arah lain pula, mahu menjarakkan diri dari Iman, namun Iman tetap mengekoriku, lansung tidak mahu berenggang.
Salima yang asyik melayan anak-anaknya mengalih pandangan padaku yang kelihatan resah di sebelah Iman yang asyik menyendeng. Senyuman penuh makna dileret buatku. Pasti ada telahan yang kurang enak sedang bermain dalam mindanya. Ah, bagaimana harus kuusir telahan-telahan nakal Salima andai Iman ibarat belangkas denganku.
“Awak, jauh la sikit, saya rimas la, tak suka,” aku memberanikan diri bersuara.
Iman angkat kening memandangku.
“Tak suka? Tapi saya suka...” Iman terus ketawa mengekek. Panas hatiku dibuatnya.
“Ok, ok meh kita tangkap gambar. Nanti boleh letak kat Facebook,” Salima sudah memegang kamera digital di tangannya. Aku cepat-cepat ke tepi, memberi ruang buat keluarga itu dan pada masa yang sama, berharap supaya Salima tidak memaksaku untuk bergambar.
“Ok Ila, Iman, masuk la, akak nak tangkap gambar ni,” arahan Salima bagaikan membunuh harapanku untuk lari dari sesi fotografi tidak rasmi itu.
Iman pantas saja masuk ke depan sambil menarik lenganku menghampirinya, membuatkan aku berada di dalam lensa kamera Salima. Aku pandang wajah Iman dengan geram, sudah berkali aku tegaskan dari tingkah lakuku yang aku tidak suka dipegang, dia masih juga tak mahu faham.
Iman pandang wajahku yang geram, tidak faham dengan isyarat mataku.
“Opps sori, saya tak sengaja,” Iman tersedar lantas mengangkat kedua belah tangannya, tanda bersalah. Aku mengeluh perlahan.
“Ok duduk rapat sikit, kang gambar tak cantik...” Salima bersuara lagi, memberi arahan seperti seorang jurugambar professional yang sedang mengambil gambar pasangan pengantin untuk disemadikan dalam album gambar. Anak-anak dan suaminya sudah hilang dibelakang, sebaik aku dan Iman berada di depan lensa, laju saja anak beranak itu angkat kaki, tidak mahu menganggu sesi fotografi antara aku dan Iman agaknya. Memberi peluang yang tidak kuingini.
“Rapat Ila, rapat...” kata-kata Salima membuatkan aku terkenang zaman itu.
-----------------------------------------------------------
“Rapat Ila, rapat... jangan malu-malu,” Hadi, budak kelasku itu ketawa mengekek. Iman yang sudah berada di sisiku asyik berposing, buat gaya peace di sebelahku yang sedang menjaga booth kelab masakan.
Demi mengenangkan orang ramai yang sedang memerhati, kugagahi juga untuk buat-buat biasa, padahal hatiku bagai nak gugur. Walaupun Iman suka mengusik, hatiku tetap jatuh hati padanya. Walaupun dia datang ke booth itu untuk mengacauku, aku tetap rasa gembira yang teramat. Cuma aku malu diperlakukan sebegitu di depan orang ramai.
“Ila, angkat la sudip tu tinggi sikit,” Hadi masih lagi memberi arahan, memang sengaja cari pasal. Aku tahulah aku berpakaian lagak chef dengan topi tinggi, tapi itu memang pakaian yang wajib kupakai di booth itu sebagai wakil kelab masakan.
Iman selamba tersengih di sebelah, tak sabar agaknya nak bergambar denganku, lantas nanti dijajanya gambar itu serata kampus. Seronok agaknya melihat perempuan gemuk dalam kelab masakan itu. Iyalah, makanan dan orang gemuk kan ibarat irama dan lagu, tak boleh dipisahkan. Ini mesti kes nak perli aku.
“Dahlah, pergi la main jauh-jauh,” aku berbisik pada Iman di sebelahku yang asyik membelek makanan di boothku saat usai sesi bergambar.
“Ala, nak kacau buah hati aja, takkan marah kot.”
Srappp! Darah rasa menyirap ke kepala, aku tahu dia cuma bercanda, tapi usikannya itu kadang-kadang membuatkan aku rasa terawang-awang, rasa macam diberikan harapan.
“Ila!” aku tersentak saat Iman memetik jarinya di hadapan mataku. Terus aku kembali menjejak tanah di I-City ini, menghapus semua kenangan di depan layar mataku. Aku pandang hadapan, Iman sudah berdiri tegak, aku pandang pula kiri dan kanan, Salima dan keluarganya sedang bergambar di kawasan lain pula.
“Awak ni banyak mengelamun kan?” Iman tersenyum simpul. ‘Aku mengelamun tentang kita dulu, Iman...’ mahu saja aku berkata begitu, namun akal yang waras masih mampu menahanku dari membocorkan rahsia yang kupendam selama ini.
Wajah Iman kupandang seketika, dia masih tetap Iman yang dulu, yang kukenal lapan tahun dulu. Tak ada perbezaan yang ketara hingga pantas aku dapat mengecamnya saat di hospital dulu  walaupun baru pertama kali berjumpa selepas lapan tahun. Tapi kenapa dia sukar mengecamku, mengenaliku sebagai Ila yang dulu, yang sering diusiknya? Bagus juga begitu, jika tidak, aku sendiri malu untuk berhadapan dengannya. Benarlah kata orang, ada hikmah disebalik segala sesuatu.
“Ila...” dahi Iman berkerut, menanti jawapanku.
“Err, tak ada apalah Iman. Saya tak mengelamunlah,” aku pantas mengalih pandangan, risau Iman sedar aku sedang memerhatikan wajahnya. Kelibat Salima segera kuhampiri.
“Kak...” aku bersuara memanggilnya hingga dia segera beralih menghadapku.
“Ila dah nak balik ni, dah lewat. Terima kasih sebab ajak Ila ke sini ya kak, Ila seronok sangat,” aku menggenggam tangan Salima erat.
Salima menepuk-nepuk tanganku. “Akak yang patut ucap terima kasih sebab sudi terima perlawaan akak yang tiba-tiba ni.”
“Perkara kecik je kak, saya pun tak pernah datang sini lagi. Teringin memang teringin, cuma tak berkesempatan dan tak ada teman...”
“Tu kan ada...” Salima memuncungkan bibirnya, menunjuk ke arah Iman yang sedang melayan karenah anak Salima yang kecil.
Aku tergamam saat melihat arah yang ditunjukkan Salima.
“Akak ni!” aku hampir menjerit.
“Tapi betul Ila, dia macam serius je nak rapat dengan kamu, bukan main mesra lagi kamu berdua ni.”
“Ish mana adalah kak, ada urusan saya jumpa dia tadi. Tak ada kaitan dengan perasaan pun.”
“Yelah kalau kamu cakap macam tu. Tapi dari pandangan mata akak ni, akak tahu perasaan dia macam mana.”
“Ah merepeklah akak ni...”
 “Nampak sangat dia sukakan kamu Ila, baik kamu jaga-jaga...”
Aku tergamam mendengar nasihat Salima, macam tak percaya saja.
“Jaga-jaga dari apa kak?” aku ingin tahu.
Salima membengkok sedikit, ingin dekat dengan diriku seraya berbisik.
“Jaga-jaga dari jatuh cinta!” dia ketawa kecil.
“Akak!” aku cuba untuk tidak ambil pusing dengan kata-katanya walaupun realitinya aku sudah terlebih dahulu jatuh cinta pada Iman, sejak lapan tahun dulu lagi.
Wajah Iman aku pandang dari jauh. Mustahil Iman suka padaku, aku sedar aku tidak layak untuknya jika dibanding dengan Ida yang jauh lebih rupawan dan setaraf dengannya.
“Kak, Ila nak minta tolong satu perkara...” wajah Salima kurenung dengan tajam.
“Tolong apa?”
“Tolong jangan beritahu sesiapa terutama sekali Safwan tentang akak terserempak dengan Ila dan Iman malam ni ya! rahsia tau!”
Salima menganggguk pantas.
“InsyaAllah, akak pun tak sanggup nak bagitau Safwan tu. Tahu jelah kamu perangai dia, cemburu kuat betul, belum apa-apa pun dah melebih. Geram jugak akak kadang-kadang dengan perangai dia tu. Protect kamu over sangat.”
Aku tertawa mendengar bebelan Salima tapi memang benar kata-katanya, kalau Safwan tahu mesti dia mengamuk macam singa betina. Gerun pulak rasanya ada orang yang terlalu obses ni, tapi aku sedar Safwan begitu kerana dia cintakan aku. Tapi aku? Entahlah, masih belum mampu menyintainya. Cinta bukanlah senang bertukar milik, hati bukannya senang diisi dengan pengganti, apatah lagi insan yang kucintai muncul kembali, ahh bingung!

“Soalan ni senang je sebenarnya, cuma ayat dia berbelit, sebab tu kita tak faham.”
Dahiku berkerut mendengar penerangan Iman saat kami berbincang tentang tugasan yang diberikan Puan Mawar.
“Ila tak paham eh apa Iman cakap. Sorry!” Iman tersengih menampakkan giginya yang cantik tersusun. Jantungku bagai terhenti, ada resah dalam dadaku saat melihat senyumannya itu. Ah bikin hatiku penasaran.
“Ila, kenapa senyap je ni. Takkan Iman sorang je nak bercakap.”
Aku menggelengkan kepala. Sukar sekali mahu menumpukan perhatian pada tugasan saat insan yang duduk di hadapanku adalah Iman.
“Er, saya tak paham sangat. Awak boleh terangkan tak soalan ni?” aku menyoal dalam nafas yang kian menyesak. Suasana perpustakaan yang padat dengan pengguna langsung tak kuhiraukan walaupun aku pasti, ada mata-mata yang sakit melihat aku bersama jejaka pujaan kolej itu.
“Ini sebenarnya macam ni...” Iman kembali menerangkan, namun aku dapat rasakan dunia seolah bisu. Hanya debaran dadaku yang bisa kudengar saat memandang ke arah Iman. Sesekali saat Iman mengalih pandangan dari kertas tugasan kami lantas menatap wajahku, aku terasa bagaikan terkena renjatan elektrik.
“Faham tak ni?” sekali lagi Iman bertanya.
Aku mengangguk perlahan, walaupun belum benar-benar mengerti, namun aku tak mampu memaksa Iman menerangkannya sekali lagi kerana aku tidak boleh memberi perhatian walau sepicing pada butir bicaranya dek kerana debaran yang kian membalut jiwa.
“Tak apa Ila, soalan ni biar Iman jawabkan ya. Ila buat yang ini,” jemari Iman segera menunjuk ke arah kertas tugasan itu. Aku cepat-cepat mengangguk, berusaha menyiapkan soalan berikutnya biarpun dalam keadaan berhadapan dengan Iman itu, nak pegang pen pun tanganku menggeletar.
“Ila segan ke duduk dengan Iman? dari tadi senyap saja?” Iman yang sejak tadi khusyuk menulis di atas kertas tiba-tiba menegurku, hampir terlepas pen dari tanganku dek kerana terkejut.
“Err, tak adalah.”
“Jangan segan-segan ya sayang,” bicara Iman tanpa mengalih pandangan dari kertas tugasan. ‘Gulp!’ aku menelan liur. Mujur dia tidak melihat wajahku, kalau tidak pasti dia dapat membaca riak wajahku yang kegelisahan.
 ‘Sabar Ila, dia bergurau saja tu,’ aku mengingatkan diri yang hampir hilang pertimbangan, rasa suka bercampur baur dengan takut. Takut untuk berharap yang kata-kata dari mulutnya itu ikhlas belaka.
-----------------------------------------------------------------------------------
“Syida tahu tak? Ila rasa macam dah jatuh cinta lah...” aku tidak sabar meluahkan rasaku pada Syida yang sudah menungguku di dalam dorm saat aku pulang dari perpustakaan.
Syida tergamam, terkejut barangkali. “Jatuh cinta?”
“A ah, jatuh cinta,” aku bingkas duduk di atas katil seraya menyorot mataku ke arah luar tingkap. Beberapa orang pelajar perempuan sedang asyik bermain bola keranjang di gelanggang sebelah dorm.
“Dengan siapa? Kalau dengan Iman, kami semua dah tahu...” Syida seolah mampu menebak pemikiranku.
Aku bingkas duduk kembali di tepinya.
“Memang Iman. tapi kan Syida, selama ni Ila tak pernah anggap perasaan yang hadir ni sebagai cinta, Ila rasa mungkin ini cuma perasaan suka.”
“Suka dan cinta? Ada beza ke Ila?” Syida menggeleng kepalanya. Aku tersenyum pada Syida yang naif dan masih kebudak-budakan. Tangannya kuelus perlahan.
“Syida, suka tu bila kita rasa tertarik pada seseorang, tanpa kenal hati budinya pun kita boleh suka, contohnya macam kita sukakan artis dalam televisyen tu, lain Syida. Cinta pulak bila setiap kali bertemu dengannya, debaran hati kita rasa kuat sekali, saat bertentang mata dengannya hati kita jadi tak keruan, kehadirannya di sisi membawa seribu kebahagiaan dan bila dia tiada di sisi, kita akan rasakan satu kehilangan yang besar. Ah susah nak terangkan apa itu cinta Syida, tapi bila sampai masanya, Syida sendiri akan sedar bahawa Syida sedang dilamun cinta.”
Syida tergelak mengekek. Aku hairan melihatnya ketawa sedangkan aku berbicara perihal yang serius. “Ni kenapa gelakkan Ila pulak ni?” aku mengomel.
“Sorry, sorry. Syida rasa Ila memang dah angau kat Iman tu la. Cakap bukan main dibuai perasaan lagi,” Syida menerangkan sambil menyambung tawanya.
Aku tersenyum sendiri melihat gelagat Syida. Ya aku sudah gila bayang, ahh tapi sangat indah perasaan ini Ya Allah...
“Sejak satu kumpulan dengan Iman, Ila rasa Iman seorang yang sangat baik. Perlahan perasaan yang Ila anggap suka tu dah berubah jadi cinta Syida. Cinta yang sangat kuat dalam hati Ila. Tadi masa Ila berbincang dengan dia pun, hati Ila ni jadi tak keruan. Rasa berdebar-debar.” Aku berbicara sambil mengenang kembali pertemuan aku dan Iman sebentar tadi.
 “Habis apa rancangan Ila? Nak luah perasaan kat dia?” kata-kata Syida mengembalikan aku ke alam nyata.
“Belum pasti Syida. Ila takut, Ila tak layak untuk dia.”
“Kalau tak cuba, macam mana nak tahu Ila. Entah-entah Iman pun ada perasaan yang sama pada Ila. Kita semua kan tahu yang Iman suka kacau Ila. Dalam banyak-banyak perempuan dalam kelas, dengan Ila saja yang dia kacau tau.”
Aku merenung wajah Syida dengan rasa tidak percaya.
“Mengarut sajalah Syida ni. Takkanlah Iman nak suka kat orang macam Ila pulak. Ila tak layaklah Syida.”
“Tak ada orang yang tak layak memiliki cinta, Ila.”
Aku bingkas bangun dan mengambil gambar Iman yang terletak elok di dalam bingkai gambar. Sengaja kuletakkan di situ buat menghilangkan kerinduan di hati saat Iman hilang dari pandangan mata.
“Kalau Iman tahu betapa dalamnya cinta Ila pada dia, pasti dia takkan menolak,” Syida menambah lagi sambil turut merenung gambar di tanganku. Aku tersenyum tipis padanya, berharap agar kata-kata itu benar namun hatiku cepat saja menyangkal. Tak mahu termakan harapan yang diluahkan Syida.
---------------------------------------------------------------------------------------
Aku tersenyum, saat mendengar cerita itu dari mulut Syida, rupanya Syida masih ingat saat aku meluahkan padanya yang aku cintakan Iman. Terasa merah mukaku pabila Syida mengungkit kisah lalu saat kami bertiga sedang berehat di ruang tamu.
“Tak sangka kan, lepas lapan tahun, Iman muncul kembali,” Farah yang sedari tadi cuma diam, segera membuka mulut. Gadis tinggi lampai di hadapanku itu kupandang penuh pengertian.
“Aah kan, ingatkan dah tak wujud insan bernama Iman tu,” Syida dan Farah ketawa kecil, aku hanya mampu tersenyum kelat.
“Farah dan Syida rasa Iman memang tak cam Ila ke? Risaulah Ila.”
“Farah pun tak pastilah Ila, Iman bukannya bodoh tapi memang susah jugak nak cam Ila sekarang sebab Ila dulu dan sekarang memang banyak bezanya.”
Aku merenung diriku, dek kerana kekecewaan dulu, aku berusaha menjadi insan yang lain dari diriku dulu. Aku ingin membuang diriku yang dulu, yang sering disakiti.
“Ila pun risau sangat Farah, sejak akhir-akhir ni Iman selalu cuba mendekati Ila. Ila takut Ila tak mampu bertahan.”
“Jika benar dia ikhlas kali ni, apa salahnya Ila...” Syida mula menyampuk. Aku cuma mampu terdiam. Aku tidak mahu percaya lagi dengan keikhlasan Iman kerana aku pernah terpedaya dengan keikhlasannya dulu.
Saat Syida dan Farah mula khusyuk mengikuti siaran televisyen, fikiranku pula menerawang mengingati Iman dan kenangan lalu yang tidak mampu kuusir pergi.


Pasaraya besar itu penuh dengan pengunjung, namun aku berjalan sendirian menolak troli tanpa mempedulikan keriuhan di situ, bagiku apa yang penting ialah mendapatkan segala keperluan harianku.
Saat asyik membelek buku tulis yang ingin kubeli di bahagian alat tulis, seseorang menepuk bahuku. Segera aku berpaling ke arah insan itu.
“Doktor Ida!” aku tergamam saat melihat seraut wajah itu terpacak di hadapanku dengan senyuman.
“Eh cikgu ingat saya lagi eh?”
Aku tersenyum. Mana mungkin aku lupa pada insan yang rapat dengan Iman itu.
“Mestilah doktor.”
“Ala, tak payahlah panggil saya doktor, panggil Ida je.”
“Oh, ok Ida. Awak pun panggil saya Ila je eh.” Ida mengangguk-angguk, aku melihat sekelilingnya. Tiada siapa disamping Ida, sama sepertiku, keseorangan.
“Ila buat apa kat sini? Sorang je ke?” Ida mula menyoal.
“Ya, sorang. Beli barang sikit. Ida?”
“Oh Ida datang beli barang jugak. Barang hantaran, buat persiapan sikit-sikit,” kata-kata Ida itu buat aku tersentak, hingga kehilangan kata.
“Ila, awak ok ke?” Ida menghenjut sedikit bahuku, membuatkan aku tersedar semula.
“Eh saya ok. Hantaran? Hantaran apa Ida?” aku cuba mengorek rahsia.
“Hantaran pertunangan Ida nanti.”
“Tunang?”
“Aah, kenapa Ila?” Ida bagaikan dapat mengesan reaksi pada raut wajahku.
“Oh Ida nak bertunang, tahniah!” aku cuba buat-buat selamba walaupun hatiku bagaikan dihiris belati tajam. Entah mengapa aku yakin sekali bahawa bakal tunang Ida itu ialah Iman.
“Terima kasih Ila. Nanti jemputlah datang ya! Ini alamat rumah Ida. Ahad ni majlisnya, ingat! Datang tau, Ida tunggu.” Ida berkata sambil menghulurkan sekeping kad namanya yang tertera alamat rumah.
Aku segera mengambil kad nama itu dari tangannya lantas tersenyum.
“InsyaAllah.”
“Ok Ida nantikan kedatangan Ila. Lepas Zohor majlis tu, jangan lupa tau.” Ida menepuk-nepuk bahuku, bagaikan begitu mengharapkan kedatanganku pada majlis bahagianya.
“Ila tak janji, tapi Ila cuba ok?” aku cuba memberikannya harapan yang aku sendiri tidak pasti mampu kutunaikan atau tidak.
“Kalau macam tu, Ida beransur dululah ya, banyak lagi kerja yang tertangguh ni.” Ida meminta diri.
“Ok Ida, jumpa lagi ya. Tahniah sekali lagi.”
“Thanks Ila!” Ida berlalu setelah melemparkan senyuman padaku.
Aku gumam, perkhabaran gembira yang Ida berikan hampir membuatkan air mataku tumpah. Tapi aku sedar aku tak berhak menghalang jika jodoh Iman bersama Ida, aku sendiri yang lari dari Iman, dari segala kenangan dulu. Aku tidak berhak meminta supaya hanya dia jodoh buatku, jika sudah tertulis di Loh Mahfuz yang jodoh Iman bersama Ida, siapa aku untuk membangkang percaturan Ilahi.
‘Tabahlah duhai hati,’ aku cuba memujuk hatiku sendiri.
------------------------------------------------------------------
“Please Farah, sekali ni saja!”
“Ei tak naklah, kan Iman nak jumpa Ila saja. Takkanlah Farah pulak yang nak ganti.”
“Tolonglah! Ila tak nak jumpa dia!”
Iman yang sedang menunggu di dalam restoren itu hanya kupandang dari jauh dari dalam keretaku. Aku cuba memujuk Farah yang berada di sisiku, bungkusan yang terisi wang itu segera kuhulurkan pada Farah. Meminta dirinya supaya memahami keadaanku saat itu.
“Tapi kenapa Ila? Apa masalahnya sekarang? Kan ke hubungan Ila dengan dia baik-baik saja.”
Aku mengeluh, melepaskan beban yang terasa menyesak dada.
“Ila tak mahu ganggu bakal tunangan orang lagi.” aku berterus-terang.
“Hah tunangan orang?” mata Farah membulat, tidak percaya.
“Aah, Ahad ni Iman bertunang.”
“Mana Ila tahu?”
“Ila jumpa bakal tunang dia kat pasaraya tadi, dia yang beritahu. Dia ajak Ila pergi majlis tu.”
“Ila pasti ke Iman yang nak bertunang tu? Entah-entah perempuan tu bertunang dengan lelaki lain.”
Aku memandang anak mata Farah, mengharapkan kata-katanya itu satu harapan buatku. Namun hatiku cepat saja menyangkal semua itu. Firasat hatiku selalunya tak pernah menghampakan.
“Tak pasti, tapi Ila yakin.”
“Tapi takkan sebab tu Ila tak mahu jumpa dia?”
“Sebab tu ialah alasan paling kukuh yang Ila boleh bagi Farah. Ila tak mahu cinta Ila berputik semula pada tunangan orang.”
“Dari mata Farah, Farah tahu cinta tu masih wujud dalam hati Ila. Tapi jika dengan tak berjumpa Iman boleh buatkan hati Ila lega, Farah sanggup tolong Ila.”
“Terima kasih Farah. Farahlah sahabat Ila dunia akhirat. Jangan beritahu Iman, Ila ada datang bersama Farah tau.”
Farah mengangguk perlahan. Bungkusan yang kuhulur sedari tadi padanya segera diambil, sebelum keluar dari perut keretaku. Aku cuma mampu berharap segalanya berjalan lancar dan Iman akan  sudi mengambil wang kirimannya tanpa banyak soal.
Lebih kurang lima belas minit kemudian, Farah keluar dari restoren lantas membolosi perut kereta semula.
“Dah bagi dah.” Farah menyampaikan beritanya.
“Ye ke? Terima kasih Farah! Maaf susahkan Farah.”
“Tapi...” suara Farah tersekat tiba-tiba.
“Tapi apa?” aku menyoal kurang sabar.
“Puas Farah pujuk dia, tapi dia berkeras nak jumpa Ila jugak. Farah cakap Ila ada hal, dia tak percaya, dia nak Ila jumpa dia sendiri dan serahkan padanya. Akhirnya Farah letak je duit tu atas meja dan terus datang sini.”
Aku tergelak kecil, rasa lucu pula dengan kedegilan Iman.
“Gelak la gelak, Farah yang seksa tau. Mujur Farah panjang akal.”
“Sorry-sorry. Cuma degil jugak Iman tu kan.”
“Farah rasa dia kecil hati la bila Ila buat dia macam ni. Macam tak tunaikan janji Ila dulu.”
Aku terdiam, mengakui kebenaran kata-kata Farah itu.
“Tak apalah, malas Ila fikir pasal dia. Jomlah...” aku terus memecut meninggalkan restoren tempat Iman berada sendirian.
-----------------------------------------------------------------------------------------
Aku baru saja merebahkan diri di atas katil saat telefon bimbitku berdering. Skrin telefon bimbit itu segera kutatap. ‘Iman!’
Aku biarkan saja nada dering itu menjerit tanpa mahu mengangkatnya. Tidak bersedia untuk melayan panggilan Iman. Namun Iman bagaikan tidak kenal erti putus asa, selang seminit pasti nada deringku berbunyi kembali. Setelah lebih kurang sepuluh kali kubiarkan panggilan dari Iman itu, akhirnya aku terpaksa mengangkat, akur dengan kehendak Iman untuk bercakap denganku.
“Assalammualaikum.” Aku memulakan perbualan.
“Waalaikumussalam. Ila sihat ke? Kenapa lambat angkat telefon?”
“Err, sihat. Tadi saya ada kat tempat lain,” aku berdusta.
“Oh, kenapa tak datang jumpa Iman tadi? Kawan Ila cakap Ila ada hal.”
“Emm aah, saya ada hal. Minta maaf sangat-sangat.”
“Tak apa. Cuma Iman takut Ila memang sengaja tak nak jumpa Iman.”
“Kalau saya cakap saya sengaja macam mana?” aku cuba menduga.
“Tapi kenapa Ila?” nada suara Iman berubah, bagaikan mahu kepastian dariku.
“Nanti saya beritahu awak boleh?”
“Bila Ila? Kenapa tak sekarang?”
“Awak kena tunggu. Ahad nanti saya beritahu. Assalammualaikum.”
Aku terus menekan punat merah, tak mampu berbicara dengan Iman lagi. Bimbang sebak di dadaku dapat didengar Iman. Air mataku ingin tumpah, kubiarkan saja ia mengalir tanpa mahu menyekanya. Mungkin dengan membiarkan air mataku mengalir, hatiku kan merasa lebih sejuk.

Kalimah Cinta Bab 11-15 Rating: 4.5 Diposkan Oleh: Kusen Almunium Lampung