Kumpulan dari Cerpen Cinta Melayu.

Kalimah Cinta Bab 3-5

“Ila, tolong akak Ila,” Salima yang terjongol di depanku membuat aku terhenti dari menaip kerjaku pada komputer. Aku bersandar pada kerusiku lantas senyuman kulemparkan padanya.
“Ada apa kak?”

Salima tersenyum bagai kerang busuk. Jarinya bermain-main di atas mejaku.

“Kak nak mintak Ila tolong tengokkan budak-budak kat hospital tu, kak ada kerja penting ni, sebab tu terpaksa minta tolong Ila ni,” Salima menerangkan keadaannya.

Mataku membulat mendengar permintaan Salima. Hospital? dalam diam hatiku gundah. Perlukah aku bertemunya sekali lagi. Keluhan kulepas berat.

Salima kelihatan terganggu dengan keluhanku.

“Eh kalau Ila ada hal, tak apalah. Kak mintak tolong cikgu lain,” kata Salima serba-salah. Aku duduk tegak, sedar kesilapanku yang mengeluh dengan permintaan Salima.

“Tak adalah kak, Ila boleh tolong. Kak janganlah risau,” aku tersenyum, cuba membuang perasaan serba-salah dalam diri Salima.

Terpamer senyuman di bibir Salima.

“Terima kasih banyak, Ila,” tanganku digapai dan dihayun lembut.

Sebaik Salima berlalu, hatiku kembali memainkan irama gundah. Bagaimana harus kuhadapi dugaan yang kulalui ini, pertanyaan dalam hati ini tak bisa kujawab. Perlahan aku bangun dan mencapai apa yang perlu sebelum keluar dari bilikku.



Aku melangkah keluar dari wad pesakit sebaik melawat pelajar-pelajarku di situ. Dadaku berdegup kencang, entah mengapa. Dalam hati aku hanya mampu berdoa agar aku tidak menemui Iman hari itu. langkahku sengaja kucepatkan namun semasa melepasi pintu bilik kecemasan, aku terpana bila melihat Iman di situ bersama seorang gadis manis beruniform putih. Dari pemakaiannya aku tahu gadis itu juga seorang doktor. Langkah kakiku terhenti tatkala melihat kemesraan Iman dengan gadis itu. Ada sinar bahagia yang terpamer dari raut keduanya.

Aku gamam sendiri. Langkah kuatur laju semula. Tidak mahu Iman sedar aku disitu memerhatinya bersama temannya.

“Cikgu Ila,” panggilan itu bagaikan membunuh degupan jantungku. Aku gamam seketika sebelum berpaling pada Iman yang sedang tersenyum padaku.

“Eh, Doktor Iman, tak sangka pulak kita jumpa lagi,” aku memainkan lakonan yang ku arah sendiri.

“Cikgu Ila datang tak beritahu saya pun. Kalau tak, boleh kita lunch sekali tadi”.

Aku melihat jam di tangan yang menunjuk ke angka 2 lantas kembali tersenyum pada Iman.

“Tak apalah, tak ada rezeki saya. Lain kali saja, lagipun saya tak nak ganggu doktor,” aku mengerling pada gadis manis yang berbual dengan Iman sebentar tadi. Dia masih diam di kaunter tadi.

Iman menggaru kepala yang tidak gatal, dari senyuman bersalahnya seakan aku berjaya menangkapnya. Aku tahu dia faham dengan maksudku. Segera dia menghampiri gadis itu dan kedua mereka kembali ke arahku. Iman meraup rambutnya sebelum memperkenalkan gadis itu.

“Cikgu Ila, ini teman saya Doktor Ida. Ida, ini Cikgu Ila, kami baru berkenalan semalam,” terang Iman sambil tanganku meyambut huluran tangan dari Ida.

Aku melemparkan senyuman biarpun hatiku dipagut cemburu yang teramat. Ada kesedihan yang bertamu di hati namun aku tak mahu riak wajahku dapat di baca mereka.

“Cikgu Ila buat apa kat hospital ni? Sakit ke?,” soal Ida ramah. Aku tersenyum memandang wajah manis itu. Memang sesuai dengan Iman, getus hatiku sendiri.

“Cikgu?,” Iman menyedarkan aku yang terdiam seketika. Aku memandang wajah Iman seketika sebelum beralih pada Ida..

“Maaf, saya datang melawat pelajar-pelajar saya di wad, kes keracunan makanan tapi dah ok rasanya,” petah aku membalas yang perlu setelah sedar akan kesilapanku tidak menyambut pertanyaannya.

Ida mengangguk perlahan tanda faham. Wajahnya yang jernih tanpa sebarang cela ku tatap lagi. Walaupun berpalit mekap yang agak tebal namun aku yakin kejelitaan aslinya juga pasti tidak kalah. Mata galak itu pasti bisa mencairkan hati seorang lelaki.

Aku menghela nafas seketika sebelum berpaling pada Iman.

“Oklah Doktor, saya terpaksa pergi dulu, ada kerja yang perlu saya siapkan di sekolah. insyaAllah, ada masa kita jumpa lagi,” Iman mengangguk perlahan. Terasa seperti ada beban yang di tanggungnya. Mungkin kekok bertemu denganku di saat dia bersama temannya.

“Ok, doktor Ida, saya balik dulu ya,” aku meminta diri pada Ida pula. Ida tersenyum mesra .

“Ada masa, datanglah sini lagi ya, saya tak sempat nak berbual dengan cikgu”. Kata-kata Ida itu buat aku terpegun, mampukah aku berbual dengan teman pada insan yang ku cintai selama ini?, dan andai dia juga tahu, aku mencintai temannya, mampukah kami menjalin sebuah persahabatan?.

Aku mengangguk perlahan, sebelum memandang Iman. Senyumanku mati sebaik menatap wajah itu, ada kesedihan yang aku cuba sembunyikan. Pandangan mata Iman yang bagaikan pelik dengan tingkahku segera kubalas dengan senyuman tawar. Aku tak mampu memaksa hati ini untuk ikhlas lantas segera bergerak meninggalkan mereka bersama seribu rasa dalam hatiku yang dipagut kesedihan.

Hidangan makanan segera yang berada didepan mataku lambat-lambat kujamah, terasa seperti memakan batu dan air yang kuminum terasa bagai pasir. Kemesraan Iman dan temannya Ida, masih lagi menganggu pemikiranku. Hati ini bagai dipagut cemburu. ”Ahh,” keluhan berat akhirnya kulepaskan. Wajahku kuraup perlahan. Aku sedar aku tak sepatutnya berperasaan begini di saat aku pernah melafazkan janji bahawa aku akan bahagia dengan melihat kebahagiaan dia walau dengan sesiapapun. ”Ila,” panggilan dari Safwan yang berada didepanku membuatkan aku tersedar bahawa aku tak keseorangan.

”Eh, maaf Wan, Wan ada cakap apa-apa ke?,” wajah teman sekerjaku itu kutatap dengan rasa bersalah. Dia yang mengajakku makan di situ tadi setelah tugas kami berdua di sekolah selesai, tapi pemikiranku pula jauh mengelamun.

”Apa yang Ila runsingkan ni?,” Safwan bertanya prihatin. Duduknya dibetulkan dan matanya tepat memandang ke arahku.

Wajah lelaki berwajah chinese look itu kurenung. Semenjak aku ditukarkan ke sekolah itu, dialah yang banyak menolongku. Ramai guru menganggap kami pasangan yang secocok cuma aku yang berkeras mengatakan yang di cuma teman biasaku, kerana aku tiada perasaan padanya. Kalau diikutkan, dia tidak kalah pada Iman, dengan wajah kacukan, mata yang bundar, dan wajah yang tenang memang bisa mencairkan hati perempuan. Tapi hati aku sukar menerima cintanya mahupun cinta insan lain kerana hati ini masih belum mampu membuang nama Iman. Cinta yang pernah diluahkannya hanya kubalas dengan alasan tidak bersedia dan selesa dengan perhubungan setakat teman biasa sahaja. Tetapi Alhamdulillah dia masih boleh menerimanya dan masih berkawan baik denganku. Aku kasihan juga padanya, takut dia berharap padaku, oleh itu aku bertekad untuk cuba mencari cinta dalam hatiku untuknya. Namun takdir sengaja mahu bermain denganku, saat aku ingin membina hidup baru, Iman kembali semula dalam kamus hidupku, membuatkan hati ini sekali lagi terusik.

“Tak ada apalah Wan, Ila penat sikit,” aku cuba mencari alasan. Takut Safwan dapat membaca resahku.

“Ila kenalah banyak berehat, Wan tengok sejak akhir-akhir ni Ila asyik sibuk je. Sampai tak cukup masa untuk diri sendiri. Sebab tu la Ila letih. Banyak la rehat sama. Tak perlu diikutkan sangat karenah cikgu-cikgu lain yang asyik nak menyusah kan Ila tu,” aku hanya tersenyum mendengar omelan Safwan. Air di depanku kusisip perlahan.

“Ila oklah, Wan jangan la risau,” aku melemparkan senyuman pada Safwan walaupun di dalam hatiku berkecamuk dengan pelbagai rasa. Wajah Iman dan kenangan lalu kembali bermain di mata setelah lama kuhilangkan dari hatiku.

Aku berjalan perlahan di koridor, hati ini tidak henti memikirkan Iman dan temannya yang baru kukenali semalam. Ada kesedihan yang kian bertamu dalam hati namun kucuba untuk membuang setiap kesedihan itu dengan meyakinkan hatiku bahawa aku telah redha atas takdir ini.

“Ila!” laungan dari jauh itu buat aku tersedar dari lamunan dan segera berpaling. Safwan sedang menghampiriku dengan pantas. Aku melemparkan senyuman padanya dan segera menghentikan langkah.
“Wan…” aku menyapanya saat dia berhenti di hadapanku dalam keadaan termengah-mengah. Beberapa orang pelajar mula memenuhi koridor memandangkan bunyi loceng yang menandakan sesi persekolahan hari itu berakhir baru saja berbunyi. Safwan segera memandangku dan tersenyum.

“Ila dah nak balik ke?” soal Safwan pantas.
“Ya, hari ni Ila rasa penat sedikit. Ingat nak balik awal je hari ni.” Aku menjelaskan pada Safwan. Memang aku rasa penat sejak akhir-akhir ni, apatah lagi bila memikirkan tentang Iman, otakku rasa berselirat dan tak tentu arah. Aku merasakan aku perlu mencari ketenangan seperti berehat di rumah.
“Oh, Wan baru nak ajak Ila makan tengah hari. Nampaknya tak boleh la ek?” Safwan memandangku dengan penuh rasa kecewa. Mungkin mengharapkan simpati dariku supaya aku bersetuju dengan ajakannya.

“Maaf ye Wan, hari ni memang tak boleh, tapi lain kali Ila janji, Ila keluar makan dengan Wan, ok?” aku cuba menyejukkan hatinya.
“Eh takpe-takpe. Cuma Ila tu… Ila ok ke? Wan tengok Ila macam pucat je, selalu nampak letih je.” Safwan meluahkan kerisauannya.
Aku tersenyum mendengar luahan Safwan. Aku tahu Safwan pasti sedar akan perubahanku akhir-akhir ini kerana selama ini memang dia mengambil berat tentang diriku.
“Ila okey, jangan risau. Cuma hari ni banyak kerja sikit, itu yang penat tu.”
“Hmm, betul ni?” Safwan meminta kepastian. Aku mengangguk perlahan seraya tersenyum.
“Kalau macam tu tak apalah. Ila baliklah dulu, esok kita jumpa ya,” lembut suara Safwan berbicara.
Aku memandang wajah itu perlahan, sayu kerana tak mampu membalas cinta insan sebaik itu. Aku akan cuba mencintaimu, bisik hati kecilku seolah-olah Safwan mampu mendengarnya.

“Ila balik dulu ya.” Aku meminta izin. Safwan mengangguk perlahan.
Baru saja aku mahu berpaling, Puan Roslina, pengetua sekolah itu menegur kami.
“Amboi merpati dua sejoli ni, kalau dah jumpa, tak pandang orang lain dah. Cikgu Wan, tak boleh berenggang lansung dengan Cikgu Ila nampak.” Safwan tersenyum mendengar usikan Puan Roslina itu, aku tertunduk malu.

“Kalau dah suka tu, masuk jelah meminang.” Puan Roslina tersenyum sinis.
“Itulah Puan, saya nak masuk meminang, Cikgu Ila tak bagi,” aku merenung tajam pada Safwan saat mendengar kata-katanya, geram dengan usikan itu.
Safwan cuma tersengih memandangku.
“Cikgu Ila janganlah jual mahal sangat. Nanti terlepas Cikgu Safwan ni, rugi besar,” Puan Roslina tersenyum penuh makna.
“Ada-ada sajalah puan ni,” aku tersenyum tawar. Kurang enak dengan usikan itu. Safwan pasti senang mendengarnya kerana itulah yang dia harapkan selama ini, tapi aku masih belum mampu membuka pintu hatiku untuknya.

“Oh ya, saya sebenarnya nak tanya Cikgu Wan, tentang persiapan hari gotong-royong yang akan diadakan hujung minggu ni. Ada apa-apa masalah ke?”
“Oh, tentang itu puan tak perlu khuatir, saya sudah pastikan yang persiapan berjalan dengan lancar.” Safwan membalas dengan yakin.
“Kalau begitu, legalah hati saya, saya bergerak dululah ya,” pinta Puan Roslina, sebelum membawa langkahnya.

Safwan masih tersenyum dari tadi, gembira bukan kepalang. Aku memandangnya tajam.
“Suka sungguh Wan ek?” ucapku dalam nada geram. Safwan tersengih.
“Dah memang betul, Wan nak meminang, Ila yang tak izinkan, nanti Ila yang terlepas orang sebaik Wan tau.”
“Amboi, masuk bakul angkat sendiri nampak. Malas layan Wan, Ila balik dulu la, Assalammualaikum.” Aku terus berlalu meninggalkan Safwan terpinga.
------------------------------------------------------------------------------------

Aku memerhatikan pelajar-pelajarku yang sedang asyik mengemas kelas sambil bersembang antara mereka. Aku bingkas pula ke laman hadapan kelas dan memerhatikan pula pelajar yang lain sedang asyik menanam pokok hiasan dan mencabut rumput. Aku turut sama menolong mereka mencabut rumput yang berceracak memenuhi laman itu. Seronok juga sesekali bersama pelajar melaksanakan aktiviti sedemikian, selain mencantikkan persekitaran, hubungan antara pelajar dan guru dapat dieratkan.
“Cikgu! Cikgu Ila!” aku segera berpaling dan bangun. Dua orang pelajar perempuan kelihatan tergopoh-gapah menghampiriku.

“Cikgu!” mereka berhenti di hadapanku sambil cuba mengumpul nafas semula.
“Ada apa kamu berdua ni? kalut sangat cikgu tengok.”
“Cikgu, ada orang cari cikgu. Dia tunggu kat dataran perhimpunan,” seorang dari mereka bersuara.
“Eh, siapa pulak cari cikgu masa-masa ni?” aku kehairanan.
Pelajar-pelajar itu menggelengkan kepalanya.
“Entah la cikgu, tadi kami tengah kutip sampah kat dataran perhimpunan, lepas tu ada sorang abang ni tegur, dia cakap nak cari Cikgu Ila. Sebab tu kami datang cari cikgu ni. Cepatlah cikgu.”
“Hmm, ye lah, cikgu pergi sekarang.”
“Jangan tak pergi cikgu, hensem giler abang tu… hehe… cair kami tengok.” Pelajar-pelajar itu ketawa.
“Ish, ada-ada sajalah kamu berdua ni. Dah pergi sambung kerja.”

Aku segera melangkah ke dataran perhimpunan, saat menghampiri kawasan itu, aku perhatikan ramai pelajar yang sudah mengerumuni, bagaikan ada pesta sedang berlansung.
“Ish, kamu semua buat apa kat sini? Pergi sambung kerja masing-masing,” aku berusaha meleraikan pelajar yang berduyun. Entah pesta apa yang sedang terjadi agaknya, takkanlah ada pelajar yang bergaduh, takkanlah ada shuffle dance pulak ni, hatiku ligat meneka sambil meleraikan mereka.
Di hujung dataran, sebuah kereta Mitsubishi Lancer berwarna putih elok terparkir. Seorang jejaka sedang bersandar pada kereta itu dalam arah membelakangiku.

“Cikgu, abang hensem tu la cari cikgu, pakwe cikgu ek?” salah seorang pelajar yang memanggilku di kelas tadi muncul entah dari mana.
“Cikgu, siapa dia cikgu?” ada suara lain pula bertanya dari belakang.
“Pandai cikgu pilih kan, kenalkan la abang tu pada kami” satu suara pula menyampuk. Aku cuma menggeleng. Dah jadi histeria dah budak-budak ni, bisik hatiku.
“Sudah-sudah, pergi buat kerja masing-masing!” Aku mengarah dengan nada sedikit keras, rimas melayan karenah mereka. Suaraku itu membuatkan jejaka itu berpaling padaku.
Iman! Aku terkesima. Iman tersenyum padaku lantas perlahan menghampiri. Para pelajar yang berhimpun sudah menyambung kerja masing-masing tapi aku pasti mata mereka pasti tak lepas dari memandang ke arah kami.
Debaran dadaku kian kencang saat Iman betul-betul berdiri di hadapanku.
“Assalammualaikum Cikgu Ila.”

“Doktor Iman... ada apa datang ke mari?” soalku pantas saat memerhatikan dia sudah berdiri tegak dihadapanku.
Hati aku berdegup kencang saat Iman memandangku. Sebuah senyuman terukir di wajahnya sebelum dia mengalihkan pandangan ke sekeliling sekolah. Memerhatikan sekitar dengan penuh khusyuk.
“Oh, ini rupanya sekolah tempat cikgu mengajar,” pantas Iman bersuara seraya pandangannya kembali tertancap padaku. Aku cuma mengangguk perlahan, pelik dengan kehadirannya secara tiba-tiba tanpa diduga.
  
“Boleh saya tahu, apa sebab doktor ke mari?” soalku lagi, dengan maksud pertanyaan yang sama seperti tadi, belum puas hati dengan jawapan yang diberikan Iman.
 
“Oh maaf, maaf. Saya datang sekadar mahu melawat. Tadi saya lalu jalan ni, kemudian teringat yang cikgu mengajar di sini. Lepas tu saya nampak, sekolah ni macam ada aktiviti, sebab tu saya singgah. Harap tak menyusahkan semua,” terang Iman panjang lebar.
  
Aku hanya mengangguk walaupun kurang mengerti mengapa secara tiba-tiba dia berminat untuk mengenali tempat aku bekerja.
  
“Cikgu Ila sibuk ke? Maaf saya mengganggu tugas cikgu.”
  
Aku tersentak, pasti Iman menganggap diamku itu seolahnya seperti tidak menyenangi kehadirannya ke situ.
  
“Eh, tak adalah doktor, dah nak habis dah pun. Kami adakan aktiviti gotong-royong sekarang ni. Bukannya ada majlis rasmi pun. Sekadar membersihkan kawasan sekolah. Tak mengganggu pun.” Aku tersenyum padanya. Ada riak gembira dari wajah Iman saat mendengar jawapanku.

Sunyi seketika saat itu. Iman asyik memerhati sekeliling sekolah sedangkan aku cuma menunduk, tidak tahu bagaimana untuk melayan tetamu yang tak diundang. Berhadapan dengannya sekali lagi, membuatkan aku sudah kehilangan kata.

  “Err, pelajar-pelajar yang masuk hospital hari tu, dah sihat?” Iman kembali memulakan bicara.
  
Aku mendongak ke arahnya semula. “Semua dah sihat, tak ada apa yang perlu dirisaukan lagi, terima kasih pada doktor, mereka semua baik-baik saja.”
  
“Oh, itu memang dah tugas saya,” Iman memandangku lagi, seperti merenung seraya memikirkan sesuatu.
 
“Cikgu, kenapa setiap kali saya pandang cikgu, saya rasakan seperti dah lama mengenali cikgu.”
 
Darahku menyirap. Takkan dia dah cam? Aku berfikir sendiri.
 
Iman diam seketika. Pandangan seperti merenung jauh entah ke mana. Perlahan dia memandangku semula.

 
 “Saya rasa seronok dapat berkenalan dengan cikgu, seolah seperti saya mendapat kawan yang telah saya hilang,” kata-kata Iman telah menyentuh hatiku, mataku mula bergenang. Aku tunduk, air mata kukesat perlahan supaya Iman tidak sedar.
  
“Bayangan doktor saja tu, tapi saya pun seronok dapat berkenalan dengan doktor.” Ucapku, cuba menghilangkan ingatannya pada sesuatu yang tidak ingin kuungkit lagi.
  
Iman mengeluh, dia barangkali sudah kehilangan kata. Rambutnya dielus ke belakang. Tiba-tiba wajahku direnung perlahan.
 
“Saya harap kita masih dapat berhubung lagi selepas ini. Ini kad saya, kalau ada berlaku sebarang kecemasan atau apa saja bantuan, jangan malu untuk hubungi saya terus. InsyaAllah saya akan segera membantu, ya.” Ucap Iman seraya menghulurkan sekeping kad nama yang diambil dari dalam koceknya.
 
Aku mengambil kad itu dari tangannya, melihat sekali lalu lantas segera kusimpan dalam poket seluarku.
  
“InsyaAllah doktor, terima kasih atas perhatian doktor.”

Iman mengangguk.
   
“Oh ya, seperkara lagi...” ucap Iman perlahan. “Tolong jangan panggil saya doktor, panggil Iman saja ya.”
  
Aku tersenyum. “Baiklah, Iman. tapi Iman pun kena panggil saya, Ila saja, tak payah panggil cikgu. Ok?”
   
Iman tersenyum manis. “Baik, Ila.”
  
Ah, terasa indah sekali dapat melihat senyuman itu sekali lagi, tapi sayangnya insan itu takkan mampu aku miliki selamanya, hatiku bermonolog sendiri.

   
“Ila, siapa ni?” Safwan tiba-tiba terjojol entah dari mana. Ada riak keruh diwajahnya, cemburu barangkali.
  
“Eh Wan, ini doktor yang merawat pelajar-pelajar kita yang keracunan makanan tempoh hari. Dia datang bertanyakan khabar mereka,” aku menjelaskan segera.
  
“Saya Doktor Iman, tapi panggil Iman saja dah cukup.”
  
Salam yang dihulur Iman segera disambut Safwan.
  
“Saya Safwan, panggil Wan je,” Safwan memperkenalkan dirinya sebelum berdiri di sisiku.
 
Raut wajah Iman kuperhatikan seperti tidak senang dengan kehadiran Safwan. Dia kelihatan kekok untuk berbicara dengan Safwan. Sepatah yang Safwan tanyakan, sepatah yang dia jawab. Aku hanya memerhatikan mereka dan mendengar perbualan mereka tanpa mahu menyampuk.

 
“Oklah cikgu, saya dah nak balik. Terima kasih sudi melayan saya yang datang secara tiba-tiba. Saya mintak diri dulu ya,” pinta Iman selepas berbual seketika dengan Safwan.
  
“Assalammualaikum,” Iman memberi salam sambil pandangannya tertancap padaku dengan riak wajah yang sukar dimengerti. Dia segera berlalu ke keretanya dan mula menghidupkan enjin, Iman melambai sebelum berlalu dari pandangan.
   
Aku memerhatikan Iman pergi dengan sayu, entah bila aku mampu bertemu dengannya lagi. Air jernih yang mula bertakung di tubir mata, kutahan supaya tidak tumpah di hadapan Safwan.

  
“Amboi, dah tersangkut dengan doktor nampak,” perli Safwan dengan riak cemburu.
 
Air mata kuseka perlahan sebelum memandang Safwan. Senyuman kuukir buatnya.
  
“Merepeklah Wan ni, dia tu datang nak tanya khabar pelajar-pelajar tu saja la.”
  
“Datang nak tanya khabar pelajar ke nak tanya khabar cikgunya? Rajin betul doktor melawat sekolah ya.” Safwan masih belum puas hati.
  
“Ish dah lah Wan, tak payahlah merepek lagi, niat dia baik tu.”
  
Safwan menjeling. Wajahnya masam mencuka.
  
“Suka la tu, dah dapat doktor handsome.”
 
Aku hanya menggelengkan kepala, pening dengan omelan Safwan yang jelas cemburu.

“Malas nak layan Wan. Pergi sambung kerja lagi bagus.” Aku segera melangkah untuk ke kelasku semula. Entah apa yang terjadi pada kelasku sepanjang ketiadaanku agaknya, hatiku sedikit gusar.
 
“Ila, Ila,” panggil Safwan yang mengekoriku dari belakang.
 
“Janganlah marah Wan. Wan cuma tak tahan tengok Ila bersembang dengan doktor tu. Wan takut Ila jatuh hati denga dia je.”
 
Aku terhenti. Itu dah lama berlaku Wan, bisik hati kecilku.
 
“Wan boleh tak jangan fikir yang bukan-bukan, Doktor tu dah ada kekasih la,” aku menyatakan perkara yang aku sendiri tidak pasti, tapi dari mataku, aku dapat rasakan yang Doktor Ida itu memang kekasih Iman.
  
“Betul ke? Tapi kenapa Wan rasa doktor tu macam suka kat Ila. Kalau tak, takkan dia saja-saja datang sini kan?”
 
“Boleh tak jangan merepek lagi, Ila malas lah nak layan Wan kalau macam ni.”

Aku segera berlalu dengan hati yang panas. Geram dengan telahan Safwan yang tak mampu kuterima. Alangkah indahnya jika itu yang berlaku tapi Iman takkan pernah jadi milikku, hatiku seakan mahu menjerit.

Kalimah Cinta Bab 3-5 Rating: 4.5 Diposkan Oleh: Kusen Almunium Lampung